Sindiket guna wanita janaan AI bergelar Datuk perdaya orang ramai

Sindiket guna wanita janaan AI bergelar Datuk perdaya orang ramai

hakimmahari@nst.com.my

Kuala Lumpur: Individu tidak bertanggungjawab dipercayai menggunakan imej wanita yang dijana kecerdasan buatan (AI) dan menyamar dengan gelaran Datuk bagi menarik orang ramai menyertai skim pelaburan serta kegiatan amal.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata, pihak yang disyaki terbabit turut menggunakan identiti beberapa tokoh terkenal negara bagi meyakinkan orang ramai bahawa wanita berkenaan mempunyai hubungan dengan individu berpengaruh.

Antara identiti yang didakwa digunakan ialah Perdana Menteri serta bekas dan penyandang Ketua Polis Negara, menerusi hantaran Facebook yang mempromosikan wanita berkenaan.

Chong berkata, modus operandi itu dipercayai menggunakan gelaran kehormat dan hubungan dengan tokoh berpengaruh untuk membina kepercayaan sebelum menarik minat orang ramai terhadap peluang pelaburan dan aktiviti kebajikan.

Katanya, aktiviti mencurigakan di Facebook itu mula dikesan minggu lalu.

“Pada mulanya, kami menyangka perkara ini biasa sahaja tetapi selepas meneliti lebih lanjut, kami mendapati Perdana Menteri digunakan, kemudian bekas Ketua Polis Negara dan juga Ketua Polis Negara sekarang.

“Ketika itulah perkara ini menjadi sangat serius,” katanya pada sidang media.

Chong berkata, wanita berkenaan dipaparkan sebagai pemegang gelaran Datuk, namun semakan pihaknya gagal mengesahkan bahawa wanita itu memiliki gelaran kehormat yang diiktiraf di Malaysia.

Beliau turut mendakwa identiti dan imej wanita berkenaan dijana menggunakan AI.

Katanya, akaun Facebook terbabit terus menerbitkan hantaran meskipun dipercayai sudah beberapa kali diturunkan dan diaktifkan semula.

Chong melahirkan kebimbangan bahawa penggunaan gelaran kehormat serta identiti tokoh terkenal boleh mengelirukan orang ramai sehingga mempercayai wanita berkenaan sebagai individu yang sah dan mempunyai hubungan dengan pihak berpengaruh.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih belum menerima aduan daripada individu yang mendakwa mengalami kerugian wang akibat akaun berkenaan.

“Setakat ini, kami belum menerima sebarang aduan lagi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sukar memastikan sama ada individu di sebalik kegiatan itu beroperasi di dalam atau di luar negara.

“Kami tidak boleh mengatakan 100 peratus mereka warga asing dan kami juga tidak boleh mengatakan 100 peratus mereka orang tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, Chong mengesyaki kemungkinan wujud penglibatan pihak tempatan kerana pengendali akaun itu dilihat mengetahui identiti tokoh terkenal Malaysia serta golongan yang berpotensi menjadi sasaran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Hal Ehwal Perundangan Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM), Datuk Joy Appukuttan, berkata pihaknya pernah menemui kes membabitkan individu yang didakwa menggunakan gelaran palsu atau tidak diiktiraf bagi menarik pelabur.

“Mereka mula menggunakan gelaran yang kononnya dimiliki itu untuk menarik dan mempengaruhi orang ramai terhadap perniagaan serta urusan yang ingin mereka jalankan,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan sedemikian membimbangkan apabila orang ramai dipujuk melaburkan wang berdasarkan kepercayaan terhadap individu yang mendakwa memiliki gelaran berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya menyemak kesahihan gelaran kehormat dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum mempercayai individu yang mendakwa memilikinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top