PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga individu dan merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM40,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di Bandar Tawau. Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Serbuan itu dilakukan kerana dipercayai menjalankan aktiviti perjudian haram.
Tiga suspek yang ditangkap melibatkan seorang lelaki berusia lingkungan 42 tahun dan dua wanita berumur 23 serta 57 tahun.
Menurut sumber, lelaki tersebut dipercayai ketua kumpulan yang giat menjalankan aktiviti perjudian haram di sekitar bandar Tawau.
“Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah kira-kira RM40,000 dan sitaan akaun berjumlah lebih RM300,000 melibatkan empat akaun bank milik suspek yang dipercayai hasil daripada kegiatan aktiviti perjudian haram tersebut.
“SPRM turut melaksanakan Perintah Pembekuaan Akaun di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) milik suspek,”katanya.
Menurut sumber itu, lelaki tersebut dipercayai membayar wang rasuah kepada beberapa anggota agensi penguat kuasa di sekitar Tawau bagi melindungi kegiatan perjudian haram yang dijalankannya sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001.
Kesemua individu tersebut akan direman bagi membantu siasatan dan beberapa siri tangkapan susulan bakal dijalankan. – UTUSAN ONLINE





