Sindiket 'lombong' kripto haram guna premis sewa untuk berselindung

Sindiket 'lombong' kripto haram guna premis sewa untuk berselindung

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur : Menggunakan kediaman atau premis perniagaan disewa dikenal pasti antara kaedah digunakan sindiket melombong mata wang kripto haram untuk berselindung daripada pihak berkuasa.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, modus operandi terbabit dikenal pasti menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras aktiviti kecurian elektrik.

Beliau berkata, sebanyak 1,900 kes kecurian elektrik dikenal pasti berlaku sepanjang 2025, diikuti 2024 (1,298 kes); 2023 (909 kes); 2022 (647 kes) dan 2021 (379), membabitkan kerugian bernilai RM41 juta.

“Pengesanan aktiviti kecurian elektrik dibuat melalui pemasangan ‘Distribution Transformer Meter’ (DTM) dan meter pintar, selain penggunaan teknologi dron dan peranti termal pegang.

“Menerusi tindakan progresif melalui penggunaan teknologi ini membolehkan kita mengesan (aktiviti kecurian elektrik), menyebabkan tindakan lebih efektif dapat dilakukan dengan kerjasama semua pihak penguat kuasa.

“Tindakan agresif dengan pemantauan berkesan (menyebabkan) tindakan tegas dapat diambil tetapi lebih utama ialah memberi kesedaran dalam kalangan pengguna,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berkenaan keberkesanan serbuan ke atas sindiket melombong mata wang kripto haram berdasarkan data waktu nyata.

Sementara itu, Fadillah berkata, kegagalan menukarkan meter kepada penyewa dikenal pasti antara punca pemilik rumah dan premis perniagaan menjadi mangsa sindiket melombong mata wang kripto haram.

Beliau berkata, ini sekali gus menyebabkan ada pemilik rumah dan premis perniagaan terpaksa menanggung kerugian, selain mendedahkan terdapat bil utiliti tertunggak bernilai ratusan ribu ringgit.

“Justeru, perkara lebih utama ialah memberi kesedaran dalam kalangan pengguna, terutama apabila pemilik rumah atau premis perniagaan tidak menukarkan meter kepada penyewa dan sering menjadi mangsa.

“Kini kita sedang memberi kesedaran untuk memastikan (pemilik) tukar nama (meter) kepada penyewa. Kesedaran ini perlu diberikan supaya pemilik tidak menjadi mangsa (aktiviti kecurian elektrik).

“Kita juga sedang mencari jalan untuk membantu (pemilik rumah dan premis perniagaan) kerana ada bil tertunggak membabitkan jumlah ratusan ribu ringgit,” kata Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu.

Menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya), Timbalan Perdana Menteri berkata, pemasangan sistem DTM dan meter pintar berjaya mengesan lebih banyak kes kecurian elektrik sejak 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, lonjakan kes kecurian elektrik direkodkan juga selari keupayaan sistem DTM dan meter pintar mengenal pasti kesalahan seumpamanya.

“Mengikut data 2021 hingga 2025, kes makin meningkat sebab kita sudah ada teknologi untuk mengesan. Dulu tiada teknologi untuk mengesan, sebab itu bila pengesanan (diwujudkan) kita dapat mengekang kecurian daripada berlaku yang akhirnya mengelak kerugian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top