Sindiket penyeludupan migran dikesan guna laluan berlapis

Sindiket penyeludupan migran dikesan guna laluan berlapis

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar taktik baharu sindiket penyeludupan migran yang menggunakan laluan berlapis dan cop kemasukan palsu.

Taktik itu berjaya dibongkar menerusi operasi khas yang dijalankan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat JIM Putrajaya di dua lokasi utama iaitu Terminal Bersepadu Gombak dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil risikan terperinci yang dilakukan berjaya mengesan pergerakan ketibaan sekumpulan warga Indonesia ke Lembah Klang dari Kelantan dengan menaiki bas ekspres.

“Dalam operasi di lokasi pertama di Terminal Bersepadu Gombak, seramai dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia ditahan. Turut diberkas adalah seorang lelaki senegara yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ bagi menguruskan logistik dan pergerakan migran terbabit di sekitar Kuala Lumpur.

“Bagi operasi di lokasi kedua iaitu TBS, JIM berjaya menahan tiga lelaki dan tiga wanita warga Indonesia yang mempunyai kaitan dengan sindiket sama, selain turut menyita sebuah kenderaan jenis Mazda CX-5 milik ‘transporter’ berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai taktik licik yang digunakan, Zakaria berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mengubah modus operandi mereka dengan drastik bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Sindiket kini tidak lagi menggunakan laluan laut di perairan Selangor, sebaliknya beralih kepada pendekatan lebih kompleks melalui laluan udara dan darat secara berlapis. Taktik ini digunakan kerana kebanyakan migran terbabit dipercayai sudah disenaraihitamkan daripada memasuki negara ini.

“Mereka mengelak penerbangan terus ke Malaysia. Antara laluan yang dikenal pasti adalah migran bergerak dari Indonesia ke Singapura sebagai negara transit, sebelum diterbangkan ke Hat Yai, Thailand. Malah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga digunakan sebagai transit penerbangan sebelum ke Hat Yai,” katanya.

Menurutnya, setibanya di Hat Yai, semua migran akan ditempatkan di sebuah rumah transit (safe house) sebelum kemasukan mereka ke Kelantan diatur melalui laluan haram di sempadan Thailand – Bukit Bunga, Tanah Merah.

“Selepas berjaya dibolosi ke kawasan Bukit Bunga, migran ini akan diatur pergerakannya ke ibu negara menggunakan perkhidmatan bas ekspres yang berbeza pada hari yang sama, dan hanya bergerak pada waktu malam,” katanya.

Difahamkan, rangkaian sindiket itu beroperasi secara berlapis dengan pembahagian tugas khusus bagi memutuskan rantaian maklumat antara migran dan ahli sindiket, lantas menyukarkan pengesanan.

Ia didalangi oleh seorang ‘dalang utama’ di Indonesia serta mempunyai ejen perantara di Hat Yai yang bertanggungjawab memalsukan cap kemasukan dalam pasport.

Zakaria berkata, semua migran yang ditahan berusia dalam lingkungan 27 hingga 60 tahun dan dipercayai membayar yuran antara RM3,500 hingga RM4,000 seorang kepada sindiket berkenaan.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut di mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top