am@hmetro.com.my
Rantau Panjang: Sindiket penyeludupan sempadan memperluaskan modus operandi mereka dengan mengangkut dadah, senjata api dan pendatang tanpa izin sehingga ke Besut, Terengganu melalui laluan laut.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, risikan mendapati kegiatan yang sebelum ini tertumpu di laluan darat dan sungai kini sudah merebak ke kawasan pesisir pantai termasuk Semerak dan Kemasin di Pasir Puteh.
Beliau berkata, pintu masuk sekitar Tumpat, Sungai Kelantan dan muara Kuala Besar dikesan menjadi laluan utama sindiket berkenaan serta ini mencerminkan rangkaian pergerakan mereka yang semakin luas.
“Polis menerima maklumat bahawa aktiviti penyeludupan telah sampai ke negeri jiran iaitu Besut, Terengganu.
“Mereka menggunakan laluan laut selepas penguatkuasaan di Sungai Golok diperketatkan,” katanya.
Yusoff berkata, rampasan terbaharu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Ahad lalu membabitkan 114 kilogram syabu bernilai lebih RM5 juta di Pengkalan Chepa, Kota Bharu jelas menunjukkan perubahan taktik sindiket.
“Saya bangkitkan isu ini sebelum ini di mana modus operandi mereka berubah susulan penguatkuasaan lebih ketat di sempadan.
“Sindiket akan menggunakan apa sahaja kaedah daripada laluan darat di sempadan hingga laluan laut untuk membawa masuk pendatang tanpa izin, dadah dan senjata api,” katanya.
Beliau menambah, agensi penguatkuasaan percaya sindiket memanfaatkan lokasi pendaratan di pesisir pantai serta kawasan yang kurang dipantau bagi mengelak dikesan, khususnya pada sebelah malam.
Yusoff berkata, polis akan memperketatkan lagi penguatkuasaan serta bekerjasama rapat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin bagi memperkukuh pemantauan di kawasan pesisir.
“Kita akan menyelaras dengan APMM dan Polis Marin untuk mempergiat rondaan laut serta menutup sebarang kelemahan di sepanjang pantai,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya penduduk di kawasan pesisir, supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti penyeludupan terutama membabitkan bahan api.
“Kita berharap komuniti setempat dapat membantu dengan menyalurkan maklumat supaya kita dapat mengekang penyeludupan rentas sempadan khususnya membabitkan petrol dan diesel,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




