hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman menumpaskan sindiket penyimpanan barangan kawalan dan minyak sawit tanpa lesen dalam serbuan di Bandar Seri Alam di Johor, pada Khamis.
Serbuan menerusi Op Taring Palma/ Op Taring Bravo 2 dan 3 dilakukan dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Johor dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada jam 11.30 pagi.
Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan dua individu iaitu lelaki tempatan dan lelaki warga India berusia lingkungan 30 hingga 50-an.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan menyimpan pelbagai barangan kawalan bersubsidi antaranya minyak masak, gula dan tepung gandum tanpa lesen sah.
“Turut dirampas ialah minyak sawit mentah (CPO), sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace, mesin pam serta peralatan dipercayai digunakan bagi tujuan pengalihan minyak sawit,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, rampasan dibuat membabitkan minyak masak bersubsidi dengan berat 6.4 tan; gula dan tepung gandum bersubsidi (2 tan) serta minyak sawit mentah (CPO) dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM170,460.
“Operasi ini membuktikan pendekatan reformasi penguatkuasaan bersepadu yang membabitkan pelbagai agensi berjaya meningkatkan keberkesanan tindakan mengekang ketirisan barangan bersubsidi di pasaran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; Seksyen 78 Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (Majlis Bandaraya Pasir Gudang) 2017,” katanya.
Katanya, MBPG turut mengeluarkan Notis Penutupan Premis selama 14 hari terhadap lokasi terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd