Sindiket seludup warga Myanmar terbongkar, PATI sanggup bayar RM4,500 masuk Malaysia

Sindiket seludup warga Myanmar terbongkar, PATI sanggup bayar RM4,500 masuk Malaysia

bhnews@bh.com.my

Kota Bharu: Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup membayar RM4,500 setiap seorang kepada ejen untuk membawa mereka dari Myanmar masuk ke negara ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, tindakan itu terbongkar apabila mereka ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dalam Ops Serkap di sebuah rumah tumpangan di Kampung Semut Api, di sini, jam 9.30 pagi, hari ini.

Katanya, ketika operasi seramai 13 warga Myanmar yang terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia di antara 19 hingga 36 tahun berada di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah tumpangan dalam keadaan bersesak.

“Hasil maklumat risikan dan intipan oleh Bahagian Penguatkuasa JIM Kelantan berjaya menggagalkan cubaan sindiket penyeludupan PATI itu.

“Mereka ditanda di pergelangan tangan dengan tali warna merah dipercayai bagi memudahkan ‘transporter’ membuat pengecaman ke atas PATI yang hendak diangkut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka mengaku dibawa masuk pada tengah malam semalam dengan bot dari negara jiran menerusi Sungai Kelantan sebelum diangkut dengan kenderaan ke lokasi serbuan.

Katanya, mereka membayar sebanyak RM4,500 kepada ejen yang menguruskan perjalanan bermula dari Myanmar ke negara ini.

“Siasatan awal, mereka menyatakan tujuan masuk ke negara ini adalah untuk bekerja di Ipoh, perak dan sedang menunggu kenderaan untuk membawa ke sana.

“Kesemua PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut dan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kelantan bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top