am@hmetro.com.my
Muar: Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan judi dalam talian dengan menahan enam individu di sebuah taman perumahan dalam daerah ini, semalam.
Keenam-enam mereka yang ditahan termasuk dua wanita hasil risikan dan operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 20-an.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati mereka menjalankan aktiviti penipuan perjudian dalam talian dengan mempromosikan kepada pelanggan sebelum menipu mereka.
“Selepas mempromosikan kepada pelanggan sindiket terbabit akan menipu sebaik bayaran dibuat oleh mereka.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai beroperasi sejak pertengahan tahun ini.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa peralatan antaranya komputer, telefon bimbit serta maklumat akaun bank yang disyaki digunakan dalam aktiviti terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, semakan juga mendapati dua daripada mereka memiliki rekod lampau berkaitan perjudian.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
© New Straits Times Press (M) Bhd



