'Sindiran 'budak kampung miskin' beri kesan mendalam pada saya' – Speaker Dewan Rakyat

'Sindiran 'budak kampung miskin' beri kesan mendalam pada saya' – Speaker Dewan Rakyat

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Isu buli tidak boleh dipandang ringan kerana ia meninggalkan kesan berpanjangan khususnya dari segi mental kepada mangsa, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul.

Beliau berkata, pelajar berisiko besar terkandas dalam pelajaran atau hilang keyakinan diri akibat tekanan mental selepas menjadi mangsa buli.

Menurutnya, buli datang dalam dua bentuk iaitu fizikal dan mental, tetapi kesan paling dahsyat adalah apabila ia mengganggu emosi dan psikologi mangsa.

“Ia boleh menghantui mereka sepanjang hidup. Ada yang sehingga sanggup menarik diri daripada sekolah, malah ada juga yang memilih untuk membunuh diri,” katanya.

Johari berkata demikian ketika merasmikan sesi Townhall Hentikan Buli: Suara Rakyat, Tanggungjawab Kita di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, wakil rakyat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), wakil rakyat, pemimpin tempatan serta masyarakat sivil.

Johari berkongsi pengalaman sendiri sebagai anak penoreh getah yang hidup miskin serta pernah berdepan ejekan ketika di bangku sekolah.

Katanya, sindiran seperti ‘budak kampung miskin’ dan penghinaan lain memberi kesan mendalam yang sukar dilupakan.

“Sebagai anak miskin, bukan mudah untuk melawan balik, lebih-lebih lagi bila tiada tempat bergantung.

“Tekanan mental seperti ini boleh menyebabkan anak-anak rasa sekolah adalah neraka,” katanya.

Johari turut menceritakan pengalaman ketika berkhidmat di Amerika Syarikat (AS) pada 1980-an, apabila seorang pelajar wanita Malaysia dari Terengganu menghubunginya dan merayu untuk pulang kerana tidak tahan dibuli di Montana.

Katanya, insiden itu membuktikan budaya buli bukan hanya berlaku di sekolah, tetapi juga di universiti, tempat kerja, malah dalam institusi keluarga.

“Kadangkala kita tidak sedar budaya buli juga wujud dalam rumah tangga. Saya tahu kes seorang doktor dibuli suami sendiri.

“Maknanya ia bukan terbatas di sekolah atau asrama semata-mata,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan laporan serta pandangan hasil sesi townhall hari ini akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan pada sidang November ini.

“Saya janji laporan ini tidak akan disimpan dalam laci.

“Ia akan dibahaskan supaya kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian segera bagi menghentikan gejala buli yang kian serius,” katanya.

Johari berkata, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat yang dipengerusikan Yeo adalah langkah tepat kerana ia antara jawatankuasa Parlimen yang berkuasa untuk mencadangkan penyelesaian kepada kerajaan.

Katanya, sesi townhall seperti dilaksanakan hari ini penting untuk mendengar terus suara rakyat, khususnya guru, kaunselor, ibu bapa serta pelajar yang berdepan realiti buli di lapangan.

Sementara itu, Yeo berkata inisiatif seumpamanya dianjurkan dengan harapan mengubah isu dan budaya buli kepada budaya empati dan kasih sayang.

Menurutnya, ia untuk anak-anak supaya mereka boleh membesar dalam satu masyarakat yang lebih selamat, lebih penyayang, dan lebih saling hormat-menghormati.

Yeo menegaskan, isu buli di sekolah adalah masalah serius yang memerlukan pendekatan lebih menyeluruh selain input baharu daripada masyarakat akar umbi.

Katanya, Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat sebelum ini sudah membentangkan 17 syor kepada kerajaan di Parlimen, namun ia masih belum mencukupi untuk mengekang gejala buli.

“Oleh itu, kita adakan sesi townhall ini untuk mendengar lebih banyak suara, khususnya daripada PIBG, wakil rakyat, pemimpin tempatan serta masyarakat sivil.

“Kita mahu platform yang terbuka dan telus, supaya semua cadangan dapat dilontarkan dengan jujur,” katanya.

Beliau berkata, input yang diterima hari ini akan dikumpulkan, dibincangkan bersama kementerian berkaitan, dan dijadikan syor jangka panjang dalam bentuk tindakan dasar, undang-undang, garis panduan, program intervensi atau kempen kesedaran.

“Ini bukanlah townhall terakhir. Selepas ini, kita akan adakan lebih banyak sesi libat urus untuk melengkapkan cadangan yang lebih menyeluruh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top