Rio de Janeiro, Brazil: Seorang remaja Brazil maut dibaham seekor singa betina di hadapan pengunjung zoo selepas memanjat tembok setinggi enam meter melepasi pagar keselamatan dan menggunakan pokok untuk masuk ke dalam kurungan itu, kata pihak berkuasa.
Mangsa, Gerson de Melo Machado, 19, disahkan meninggal dunia akibat “pendarahan akibat kecederaan pada saluran leher,” menurut Institut Perubatan Undang-Undang Joao Pessoa.
Machado dilaporkan menghadapi masalah kesihatan mental yang serius dan bercita-cita untuk menjadi penjinak singa, menurut kenalan rapatnya.
Kerajaan perbandaran bandar pesisir timur laut Joao Pessoa berkata, Machado “sengaja menceroboh kurungan singa betina” di Taman Zoobotanical Arruda Camara pada pagi Ahad.
Video insiden yang tular menunjukkan singa betina, Leona menyerbu dan menarik Machado jatuh ke tanah sejurus selepas remaja itu turun dari pokok. Pengunjung dilihat tercungap-cungap kerana terkejut ketika kejadian.
Ketua Institut Perubatan Undang-Undang Joao Pessoa, Flavio Fabres mengesahkan identiti Machado melalui cap jarinya.
Pihak berkuasa alam sekitar negeri menjalankan pemeriksaan di tapak zoo yang masih ditutup pada Isnin, manakala doktor veterinar taman, Thiago Nery, mempertahankan standard keselamatan kurungan.
Nery berkata, insiden itu “sama sekali tidak dapat dijangka,” selain menolak cadangan euthanasia ke atas Leona.
Kenyataan kerajaan perbandaran menyebut bahawa tindakan Machado berkemungkinan “cubaan membunuh diri,” sementara seorang kaunselor perlindungan kanak-kanak, Veronica Oliveira, memaklumkan dia mendampingi Machado selama lapan tahun.
Oliveira menambah bahawa ibu dan datuk nenek Machado menghidap skizofrenia, namun Machado tidak mendapat penjagaan yang diperlukan daripada kerajaan.
Machado juga pernah memotong pagar lapangan terbang dan bersembunyi di gear pendaratan pesawat yang disangka menuju ke Afrika. Malah, seminggu sebelum kemalangan, dia berhasrat mengumpul wang untuk ke Afrika.
Pengarah Unit Penjara di Joao Pessoa, Edmilson Alves berkata, Machado ditahan sebanyak 16 kali di pusat tahanan juvana dan dewasa, dan adalah “seorang yang memerlukan bantuan.”
Sementara itu, Ketua Disiplin Penjara, Ivison Lira de Paiva, berkata Machado mempunyai tahap intelek kanak-kanak lima tahun dan kesnya adalah “tragedi yang menanti masa.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




