Singapore Development, Siamese Cats ungguli Johor 7s

Singapore Development, Siamese Cats ungguli Johor 7s

Kuala Lumpur: Pasukan Singapore Development dan Siamese Cats masing-masing muncul juara kategori lelaki dan wanita Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah (7s) Johor 2025 selepas menampilkan aksi bertenaga di Kompleks Sukan Educity.

Dalam final kategori lelaki yang berlangsung sengit, Singapore Development berjaya menundukkan pencabar utama dari Thailand, All For One, sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi kejuaraan.

Sementara itu, kategori wanita pula menyaksikan Siamese Cats gah menewaskan Singapore Development dengan kemenangan besar 57-0, membawa pulang hadiah RM3,000 serta gelaran juara edisi kelapan kejohanan berkenaan.

Pemain lincah Singapore Development, Hidayat Jeffrydin dipilih sebagai Pemain Terbaik Lelaki, manakala bintang Thailand, Phaekhwamdee Salinda, dinobatkan Pemain Terbaik Wanita hasil prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.

Sebanyak 36 pasukan dari dalam dan luar negara menyertai kejohanan edisi kali ini yang kian diiktiraf sebagai antara kejohanan ragbi tujuh sebelah paling berprestij di rantau ini.

Antara penyertaan antarabangsa dalam kategori lelaki termasuk All For One (Thailand), Brunei Panthers (Brunei), Singapore Development (Singapura) dan DKI Jakarta (Indonesia).

Kategori wanita pula menyaksikan penyertaan Siamese Cats (Thailand), Singapore Development (Singapura), DKI Jakarta (Indonesia) dan wakil tuan rumah, Bunga Raya 7s dari Malaysia.

Kejohanan ini juga menjadi medan persediaan penting buat pasukan-pasukan kebangsaan menjelang Asia 7s Series dan temasya Sukan SEA 2026 yang dijadual berlangsung Disember ini di Bangkok.

Majlis penutup disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Johor, Hairi Md Shah, bersama barisan tetamu kehormat dan penaja acara.

Penganjuran Johor 7s 2025 mendapat sokongan padu daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Sukan Negeri Johor, dan Perbadanan Stadium Johor, serta ditaja oleh Exsim Development Sdn Bhd, Brightmark Sdn Bhd, Faiz Sports, AST dan Rugger District.

Dengan sokongan berterusan dan penyertaan semakin meningkat saban tahun, Johor 7s terus memperkukuhkan reputasinya sebagai kejohanan tahunan utama dalam kalendar sukan negeri, serta platform menggalakkan penyertaan akar umbi dalam sukan ragbi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top