SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mempertimbangkan kemungkinan menjarakkan tempoh antara dua dos suntikan COVID-19 bagi fasa selanjutnya.
Ia bertujuan membolehkan lebih ramai menerima suntikan dos pertama dalam program vaksinasi kebangsaan, berikutan kekurangan bekalan sekarang.
Keputusan itu dibuat berlandaskan banyak kajian antarabangsa yang menunjukkan satu dos boleh memberi perlindungan baik daripada coronavirus itu tanpa menjejaskan keberkesanan vaksin terbabit.
Buat masa ini, jarak antara dua suntikan vaksin COVID-19 itu ialah tiga hingga empat minggu.
Bagaimanapun, pakar di Singapura dan luar negara yakin ia boleh dijarakkan lagi antara enam hingga lapan minggu.
Menteri Kesihatan Singapura yang baharu, Ong Ye Kung, memberi penjelasan itu dalam satu sidang maya Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian semalam.
“Strategi ini akan membantu membendung pandemik, melihat pada keadaan yang ada sekarang, di mana kita mempunyai lebih banyak kes.
“Namun, saya memberi jaminan bahawa mereka yang sudah membuat temu janji bagi suntikan kedua vaksin itu tidak akan terjejas berikutan keputusan ini.
“Ini adalah strategi bagi fasa dua program vaksinasi kita menghala ke depan dan lebih banyak keterangan akan diumum sejurus selepas dimuktamadkan,” katanya.
Sidang media semalam bertujuan mengumumkan pelaksanaan pembelajaran di rumah sepenuhnya bagi sekolah di Singapura mulai Rabu ini.
Tambah Ye Kung, fasa pertama program vaksinasi Singapura menjurus ke arah mereka yang lebih memerlukannya.
Antaranya termasuk penduduk berisiko tinggi dan mudah dijangkiti, pekerja barisan hadapan, baik di hospital, pelabuhan, lapangan terbang atau sekolah.
“Oleh itu, bagi kumpulan ini, kami ingin memberi mereka perlindungan maksimum, bererti dua dos suntikan.
“Berapa cepat atau lambat proses inokulasi dijalankan bergantung kepada berapa segera atau lambat bekalan vaksin tiba di Singapura,” katanya.
MOH di laman rasminya, menjelaskan dua dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna diperlukan bagi mencapai ‘perlindungan optimum’ melawan COVID-19.
Buat masa ini, dua dos suntikan vaksin Pfizer dijarakkan 21 hari manakala 28 hari pula diperlukan bagi jarak dua suntikan vaksin Moderna.
Hingga 10 Mei lalu, lebih 1.8 juta orang di Singapura sudah menerima suntikan pertama.
Lebih 1.2 juta orang pula telah tamat keseluruhan proses vaksinasi mereka dengan dua suntikan vaksin. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd