Singapura kembali catat kes COVID-19 yang tinggi dalam masyarakat

Singapura kembali catat kes COVID-19 yang tinggi dalam masyarakat

SINGAPURA: Republik ini mencatatkan 24 kes COVID-19 baru dalam masyarakat semalam, jumlah tertinggi dicatat dalam 24 jam sejak 11 Julai tahun lalu.

Daripada 24 kes dalam masyarakat yang dilaporkan semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata 17 kes mempunyai kaitan dengan kelompok Lapangan Terbang Changi, meningkatkan jumlahnya kepada 42 kes.

Satu lagi kes dalam masyarakat mempunyai hubungan dengan kes yang dilapor sebelum ini manakala baki enam kes tiada hubungan dengan kes lain sebelum ini buat masa ini.

Daripada 24 kes itu, 14 sudah pun dikuarantin dan MOH turut melaporkan lapan kes import semalam, yang sudah pun dikenakan arahan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setibanya di negara itu manakala tiada kes dilaporkan dari asrama pekerja.

Secara keseluruhan, terdapat 32 kes COVID-19 dilaporkan semalam, dengan 12 kelompok aktif sekarang. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top