Singapura lakukan rampasan kanabis terbesar dalam 25 tahun

Singapura lakukan rampasan kanabis terbesar dalam 25 tahun

SINGAPURA: Biro Narkotik Pusat (CNB) hari ini berkata ia berjaya melakukan rampasan dadah terbesar sejak 25 tahun lalu di republik itu minggu lalu.

Agensi itu, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya merampas kira-kira 23.7 kilogram (kg) ganja dan 16.5 kg heroin, syabu serta pil ecstacy, di negara yang melaksanakan undang-undang dadah antara yang paling berat di dunia.

Ketika rampasan Jumaat lalu itu, pegawai CNB turut menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 kerana disyaki menyeludup dadah.

Mengikut CNB, rampasan ganja itu adalah yang terbesar sejak 1996 manakala penyitaan heroin adalah yang terbesar sejak 2001, yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih SGD$2.3 juta (RM7.13 juta).

Republik itu mempunyai dasar sifar toleransi terhadap dadah dan mengenakan hukuman penjara yang panjang atau hukuman mati dalam kes tertentu.

Kumpulan hak asasi berkata, republik itu sudah menjatuhkan hukuman gantung terhadap ratusan orang, termasuk puluhan warga asing atas kesalahan narkotik sejak beberapa dekad lalu.

Penyeludupan lebih 500 gram ganja boleh membawa hukuman mati di Singapura. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top