Singapura: Pihak berkuasa Singapura melarang kemasukan seorang sarjana Malaysia, awal minggu ini kerana aktiviti politiknya dan disifatkan sebagai “pelawat yang tidak diingini” oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura.
Portal BBC melaporkan kementerian itu dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan Fadiah Nadwa Fikri “menggalakkan sebahagian belia di Singapura untuk mengamalkan advokasi radikalnya” tanpa memperincikan perkara diperjuangkannya.
Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Ireland, Front Line Defenders, Fadiah adalah seorang peguam hak asasi manusia dan aktivis anti-rasuah di Malaysia.
Beliau juga lantang menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin di media sosial.
Fadiah menulis di platform X bahawa penafian kemasukan itu seolah-olah satu serangan yang disengajakan terhadap tugas akademiknya.
Beliau turut menyifatkan pengalaman itu sebagai sangat menyedihkan dan keterlaluan.
Fadiah menarik perhatian di media sosial selepas memuat naik gambar yang dipercayai notis penolakan kemasukan dikeluarkan pihak imigresen pada Ahad.
Menurut dokumen itu, beliau dianggap tidak layak untuk diberikan pas di bawah dasar imigresen semasa.
Fadiah berkata, beliau merancang untuk melawat negara itu bagi mengambil sijil ijazah kedoktoran (PhD) dari National University of Singapore yang diperolehi pada Januari lalu.
Beliau juga dijadualkan menyampaikan syarahan jemputan mengenai tesisnya, menjaga kucing milik rakan serta mengambil buku-bukunya.
Menurutnya, beliau meminta pihak imigresen memberikan alasan larangan itu, namun mereka menyatakan tidak boleh mendedahkannya.
MHA menyatakan Fadiah menggalakkan belia di Singapura untuk melangkaui protes dan melakukan tindakan yang mengganggu serta ganas bagi menyokong sebab tertentu.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan warga asing yang terbabit dalam politik domestik kami atau mempromosikan kaedah protes sivil menyalahi undang-undang, ganas dan mengganggu.
“Fadiah adalah pelawat yang tidak diingini, dan oleh itu kami menolak kemasukannya ke negara kami,” kata kementerian berkenaan.
Singapura mempunyai peraturan yang sangat ketat terhadap protes dan memerlukan permit polis bagi sebarang perhimpunan di tempat awam untuk mempromosikan sesuatu tujuan.
Kerajaan berhujah bahawa peraturan mengenai demonstrasi adalah perlu untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian di negara kecil itu.
Namun pengkritik berkata, peraturan itu menyekat kebebasan bersuara dan aktivisme sivil.
Pada 2024, pihak berkuasa mendakwa tiga wanita kerana menganjurkan perarakan haram selepas mereka mengadakan perarakan menyokong Palestin. Mereka kemudian dibebaskan oleh mahkamah.
Pada tahun lalu, Singapura turut menolak kemasukan Nathan Law iaitu seorang aktivis pro-demokrasi Hong Kong yang tinggal dalam buangan di United Kingdom (UK).
Menurutnya, beliau dijemput ke sebuah persidangan tertutup di Singapura, namun ditahan di sempadan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




