Singapura pertimbang hukuman rotan ke atas 'scammer'

Singapura pertimbang hukuman rotan ke atas 'scammer'

Singapura: Singapura akan mempertimbangkan hukuman rotan dalam kes tertentu berkaitan penipuan memandangkan perbuatan itu menyebabkan kemudaratan serius, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Sun Xueling, semalam.

Beliau berkata demikian ketika memberi maklum balas berhubung cadangan seorang Ahli Parlimen, Dr Tan Wu Meng (PAP-Jurong) dalam ucapannya ketika membentangkan rancangan perbelanjaan Kementerian Dalam Negeri (MHA) untuk tahun depan.

Sebelum ini, Dr Tan menggesa hukuman sebat mandatori bagi kes penipuan berat.

“Kita mesti menghantar mesej yang jelas kepada ‘scammer’, kumpulan sindiket dan mereka yang bersubahat. Jika anda ganggu rakyat, simpanan mereka dan menipu, si pelaku akan dapat akibat yang mereka akan ingat selama-lamanya,” katanya.

Sun bersetuju dengan keperluan mengenakan hukuman lebih tegas dan pencegahan terhadap mereka yang terbabit dalam kes penipuan.

Katanya, selepas pengenalan garis panduan baharu oleh panel penasihat hukuman baru-baru ini, hukuman penjara secara amnya dikenakan bagi kesalahan menyebabkan penipuan mudah berlaku.

Dalam satu kes, penjara sehingga 19 bulan boleh dikenakan.

“Kami menyekat pelaku sebegini kerana mereka adalah cara utama penipu di luar negara mencuci keuntungan yang diperoleh secara haram dan memindahkannya keluar dari Singapura,” katanya.

Pasukan Polis Singapura (SPF) akan berkongsi lebih banyak maklumat dengan bank mengenai akaun keldai yang diketahui, menambah baik analisis penipuan mereka dan membolehkan akaun keldai lain didedahkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top