Singapura pertingkat langkah keselamatan selepas balai polis Ulu Tiram diserang

Singapura pertingkat langkah keselamatan selepas balai polis Ulu Tiram diserang

SINGAPURA – Singapura meningkatkan langkah keselamatan susulan serangan ke atas balai polis di Ulu Tiram di negeri Johor, Malaysia pada 17 Mei lalu.

Langkah-langkah ini termasuk meningkatkan rondaan dan meningkatkan pemeriksaan ke atas pelancong, menurut Kementerian Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Berikutan itu, katanya, para pengembara sepatutnya menjangkakan kelewatan di pusat pemeriksaan kerana pemeriksaan yang dipertingkatkan, dan mengambil kira masa tambahan yang diperlukan untuk pelepasan imigresen.

Dua pegawai polis Malaysia maut, dengan seorang lagi cedera, selepas mereka diserang penceroboh di balai polis Ulu Tiram pada awal pagi 17 Mei lalu.

Penceroboh itu sebelum ini dipercayai anggota JI, tetapi Ketua Polis Negara Malaysia Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan suspek yang maut “didapati tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas JI”.

MHA dalam kenyataannya berkata, kementerian dan Jabatan Home Team telah memantau perkembangan keselamatan global dan serantau dengan teliti, termasuk serangan Ulu Tiram.

MHA menambah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) telah berhubung dengan rakan sejawatannya di Malaysia mengenai serangan itu.

Kementerian menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan melaporkan individu dan aktiviti yang mencurigakan kepada polis dengan segera. – Agensi