Austin, Amerika Syarikat: Singapura menerima jemputan daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai Lembaga Keamanan yang ditaja pentadbiran Trump bagi menyelia fasa seterusnya dalam pelan damai Gaza.
Memetik laporan The Straits Times, Kementerian Luar Singapura mengesahkan pihaknya menerima jemputan itu pada 20 Januari lalu, dan sedang menilai tawaran sebelum membuat sebarang keputusan.
Lembaga itu pada asalnya dicadangkan untuk memantau pembinaan semula Gaza tetapi kini peranannya diperluas kepada misi “menyelesaikan konflik global” yang lebih besar.
Langkah itu juga dilihat sebagai isyarat Presiden Donald Trump untuk menyaingi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sebelum ini meluluskan pembentukan lembaga berkenaan.
Trump dijangka mempengerusikan mesyuarat pertama lembaga itu di luar Forum Ekonomi Dunia di Davos pada 22 Januari bagi membincangkan hala tuju keamanan dunia.
Menurut piagam Lembaga, objektifnya adalah untuk memperkasakan kestabilan, memulihkan tadbir urus yang sah dan menjamin keamanan berpanjangan di kawasan yang terjejas akibat konflik.
Selain tempoh keahlian standard tiga tahun, keahlian tanpa had turut ditawarkan sekiranya sesebuah negara menyumbang AS$1 bilion (kira-kira RM4.45 bilion) dalam tempoh tahun pertama.
Dana daripada sumbangan ahli itu akan disalurkan sepenuhnya untuk membiayai projek pembangunan dan pembinaan semula Gaza yang musnah akibat peperangan.
Sementara itu, Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan menegaskan bahawa Singapura tidak berkempen untuk mendapatkan kerusi dalam mana-mana lembaga antarabangsa.
Beliau menjelaskan pendekatan Singapura adalah untuk melakukan lebih banyak kerja dan kurang bercakap selain komited meningkatkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Palestin.
Setakat ini, kira-kira 60 negara termasuk Britain, Perancis, Arab Saudi, China, Indonesia dan Thailand sudah menerima jemputan untuk menyertai gabungan berkenaan.
Israel dilaporkan turut menerima tawaran sama, manakala beberapa negara besar lain masih mengambil sikap berhati-hati sebelum memberikan komitmen penuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




