Singapura tolak politik identiti, pertahan perpaduan

Singapura tolak politik identiti, pertahan perpaduan

SINGAPURA – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menegaskan bahawa politik berasaskan kaum dan agama tidak boleh sama sekali dibiarkan mengakar dalam sistem politik negara itu, apatah lagi dengan campur tangan pihak asing.

Beliau berkata, kekuatan Singapura selama ini terletak pada perpaduan rakyat merentasi kaum dan agama serta hasil usaha tekun generasi terdahulu yang mesti dipelihara dengan penuh tanggungjawab.

“Saya tidak boleh cukup tekankan bahawa kekuatan terbesar Singapura ialah perpaduan kita merentas kaum dan agama. Ini adalah asas kepada masyarakat majmuk kita dan ia bukan datang secara kebetulan,” katanya ketika mengadakan sidang media mengenai kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Menurut beliau, dalam beberapa hari kebelakangan ini, pihak berkuasa mengesan aktiviti dalam talian oleh pelaku asing yang menggesa rakyat Singapura supaya mengundi berdasarkan agama mereka.

“Mereka mengajak rakyat mengundi berdasarkan calon mana yang lebih mewakili agama tertentu. Ini telah melampaui batas dan kita tidak akan membenarkannya,” tegas Wong.

Dalam tindakan segera, kerajaan telah menyekat akses kepada hantaran-hantaran yang dianggap cuba memecahbelahkan masyarakat itu, dan berjanji akan terus bertindak tegas terhadap sebarang cubaan serupa.

Namun, beliau turut memberi perhatian kepada ancaman dari dalam negara sendiri, apabila terdapat rakyat Singapura yang menggunakan agama sebagai asas seruan politik, termasuk satu insiden baru-baru ini membabitkan seorang aktivis yang menggesa umat Islam untuk memilih calon yang menyokong agenda keagamaannya.

“Sama ada oleh Muslim, Kristian, Hindu atau Buddha, jawapannya tetap sama iaitu mencampur adukkan agama dan politik tidak boleh diterima di Singapura,” tegasnya lagi.

Beliau menambah, kerajaan sentiasa berusaha untuk mendekati pelbagai komuniti bagi memahami keperluan mereka, namun ia berbeza sama sekali daripada amalan politik identiti yang memperjuangkan satu kumpulan mengatasi yang lain.

“Apabila satu kumpulan berkeras menegakkan identitinya, kumpulan lain akan bertindak balas. Ini akhirnya akan merugikan semua, mewujudkan masyarakat yang dipenuhi rasa tidak puas hati, permusuhan dan kecurigaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua parti politik untuk mengambil pendirian jelas, dengan menegaskan dua prinsip utama iaitu politik identiti tidak boleh diterima di Singapura bahawa politik dan agama mesti kekal terpisah.

“Apa pun perbezaan kita, kita semua rakyat Singapura terlebih dahulu. Dengan memelihara keharmonian ini, kita boleh terus membina sebuah Singapura yang aman dan berjaya untuk generasi akan datang,” katanya. – Agensi

Scroll to Top