PADANG BESAR: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dengan kerjasama Persatuan Wartawan Perlis (PWP) menyelami pengorbanan petugas barisan hadapan bersempena Ramadan dengan penganjuran Program Singgah Sahur.
Pelaksanaan program tahunan itu adalah merupakan inisiatif bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman masyarakat.
Program tersebut bermula di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini pada pukul 11 malam dan menuju ke sepuluh destinasi bagi mengedarkan pek makanan sebagai juadah sahur buat petugas barisan hadapan berkenaan.
Antara destinasi yang disinggahi adalah Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Arau, Pos Kawalan Unimap, Pos Sekatan Jalan Raya Pasukan Gerakan Am (PGA) Chuping, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar serta Kem PGA Padang Besar.
Selain itu, destinasi lain yang turut disinggahi Pos Sekatan PGA Sungai Chuchuh, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan berakhir di pejabat PWP.
Terdahulu, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli turut berkesempatan mengikuti program tersebut dan membuat gimik pelepasan peserta program menuju ke 10 destinasi terlibat.
Sementara itu, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) Unimap, Muhamad Azuan Mohamad Nasir berkata, Singgah Sahur merupakan program tahunan dianjurkan bagi menyantuni anggota keselamatan yang bertugas.
Katanya, menerusi penganjuran kali ini, Unimap dan PWP meneruskan usaha mendekati golongan berkenaan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan pihak terlibat.
“Selain menyantuni anggota keselamatan, objektif pelaksanaan program tersebut juga adalah sebagai sumbangan universiti menerusi inisiatif Unimap For Society,” katanya.-UTUSAN




