harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Program Singgah Santai@PNM 2024 bertemakan ‘Lestari Biodiversiti ke Arah Masyarakat Harmoni’ beri kesedaran kepentingan memelihara alam sekitar.
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Salasiah Abdul Wahab, berkata, tema itu dipilih selari dengan usaha kerajaan menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Pemilihan tema dan pengisian aktiviti ini sangat penting pada ketika kini kerana dengan melihat perubahan iklim global yang tidak menentu, pencemaran udara dan air yang semakin meruncing serta komplikasi kesihatan penduduk disebabkan gaya hidup yang tidak sihat.
“Selaras dengan tema yang dipilih, PNM sebagai pusat tumpuan ilmu komuniti, sangat optimis dengan pelaksanaan setiap aktiviti yang diadakan mampu menyokong empat matlamat digariskan dalam SDG,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah PNM, Edy Irwan Zulkafli pada majlis perasmian Program Singgah Santai@PNM 2024 di Perpustakaan Negara, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan selebriti jemputan yang merupakan Duta River Of Life, Maya Karin Roelcke.
Katanya, 10 agensi kerajaan terbabit dalam penganjuran Program Singgah Santai@PNM 2024 bersama sejumlah pihak swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO) turut menyumbang tenaga.
Salasiah berkata, pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang program berkenaan antaranya
pameran perkhidmatan PNM dan agensi, program literasi maklumat, demonstrasi perbaikan ringan, sumbangan buku, aktiviti interaktif dan sesi sembang santai bersama Maya Karin berkenaan isu alam sekitar.
“Sebagai usaha mencungkil dan mendayaupayakan bakat kanak-kanak, beberapa pertandingan turut diadakan antaranya pertandingan mereka bentuk dan memperagakan hasil kreativiti bahan kitar semula melalui Pertandingan Busana 3R dengan 10 penyertaan.
“Selain itu, Pertandingan Bintang Biodiversiti dengan 10 penyertaan juga turut diadakan bagi menyemai semangat cintakan alam sekitar melalui persembahan nyanyian lagu-lagu bertemakan alam sekitar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




