Single ‘Waktu’ Nyanyian Erissa Puteri Hasil Kolaborasi Komposer Terkenal

Single ‘Waktu’ Nyanyian Erissa Puteri Hasil Kolaborasi Komposer Terkenal

Menempuh fasa baharu sebagai isteri, penyanyi dan pelakon muda,  Erissa Puteri menyambut detik istimewa dalam hidupnya dengan pelancaran single terbaharu berjudul ‘Waktu’ bersempena majlis pernikahannya bersama pilihan hati, Muhamad Daniel Iskandar Zaidi, yang berlangsung pada 18 April lalu di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Menariknya, pelancaran rasmi muzik video terbitan Nova Music itu disiarkan pada hari bersejarah berkenaan sekaligus menjadikan ia lebih bermakna buat peminat dan pasangan pengantin tersebut.

Single ‘Waktu’ merupakan hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, dengan lirik sepenuhnya ditulis oleh Ikhwan sendiri.

Lagu ini dipilih sebagai runut bunyi untuk sebuah drama yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Lagu ini mengisahkan tentang kasih sayang yang sejati terhadap pasangan yang menerima kekurangan dan kelebihan satu sama lain dengan penuh ikhlas.

“Saya dengar demo lagu ini tahun lepas, dan terus jatuh cinta.

“Liriknya sangat dekat dengan kisah saya dan Daniel, walaupun ia bukan ditulis khusus tentang kami,” katanya.

Muzik video rasmi lagu ini menampilkan perjalanan hubungan sebenar Erissa dan Daniel  dari awal perkenalan hingga ke hari bahagia mereka menjadikannya satu dokumentasi visual yang menyentuh hati dan autentik.

Setelah memulakan langkah sebagai penyanyi menerusi lagu popular ‘Matahari’ pada 2014, Erissa kemudiannya lebih dikenali dalam bidang lakonan melalui drama-drama seperti Geng UPSR, Puasa Oh Puasa dan SMK.

‘Waktu’ menandakan kemunculan semula Erissa dalam dunia nyanyian dan ia  sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh peminat-peminat setianya sejak era Ceria Popstar Musim Kedua.

“Ini peluang terbaik untuk saya kembali ke bidang nyanyian. Ramai kenal saya sebagai pelakon, tapi nyanyian tetap cinta pertama saya,”jelasnya.

 

Sentuhan Ikhwan Fatanna

Menurut Ikhwan Fatanna pula, lagu ini dicipta dengan jiwa yang lembut dan konsep yang universal.

“Waktu bukan hanya lagu cinta biasa. Ia adalah refleksi tentang pasangan yang saling menerima, walau ada khilaf dan kekurangan.

“Lagu ini sesuai dijadikan lagu tema perkahwinan, atau digunakan dalam video-video momen indah,” katanya.

Jelasnya, dia juga memuji komitmen Erissa dalam menyampaikan lagu tersebut.

“Dia muda, berbakat besar dan senang bekerjasama. Ini bukan kali pertama saya hasilkan lagu untuk Erissa .

“Kami pernah bekerja bersama dalam lagu Teruskan Mencuba untuk siri kanak-kanak Suatukala sebelum ini,” tambahnya.

 

 

Scroll to Top