Paris: Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner memberi penghormatan terakhir kepada Richard Gasquet dengan kemenangan bergaya 6-3, 6-0, 6-4 di pusingan kedua Roland Garros sekali gus menamatkan karier profesional pemain legenda Perancis itu.
Dalam pertarungan dua generasi, Sinner, 23, tidak memberi ruang kepada Gasquet, 38, yang sebelum ini mengumumkan edisi tahun ini sebagai penampilan terakhirnya di kejohanan Grand Slam tanah air selepas lebih dua dekad di arena profesional dengan meraih 16 kejuaraan ATP.
Gasquet yang tampil dengan pasukannya berpakaian kemeja-T putih bertulis ‘Merci Richard’ menerima tepukan gemuruh dari penonton di Court Philippe Chatrier serta tayangan video penghargaan daripada rakan seperjuangan termasuk Novak Djokovic dan Rafa Nadal.
“Saya ingin ucap terima kasih kepada Jannik atas sikap profesional dan hormatnya. Dia pemain hebat dan saya pasti dia akan miliki kerjaya cemerlang,” kata Gasquet penuh emosi.
“Saya ada banyak kenangan indah bersama anda semua, sama ada ketika menang atau kalah. Saya bermula bermain di sebuah kelab kecil di selatan Perancis, kemudian mengelilingi negara ini untuk bertanding. Semua kejohanan itu saya kenang, bukan sekadar Roland Garros.
“Kami sentiasa disambut dengan luar biasa di sini. Terima kasih kepada Persekutuan Tenis Perancis. Karier tenis saya tamat hari ini.”
Gasquet, yang melakukan penampilan pertama di Roland Garros pada 2002 ketika Sinner masih bayi, menggamit sorakan peminat apabila mempamerkan pukulan single-handed backhand klasiknya di awal perlawanan.
Namun, rentak nostalgia itu tidak bertahan lama apabila Sinner memperkemaskan permainan untuk mendahului 4-1 dan memenangi set pertama, sebelum menutup set kedua dengan ‘bagel’ 6-0.
Gasquet cuba bangkit pada set ketiga dan menyukarkan sedikit laluan Sinner, namun pemain Itali itu mematahkan servis lawan pada kedudukan 4-4 sebelum menamatkan perlawanan.
“Kami ada hubungan baik di luar gelanggang. Kami datang dari generasi berbeza, tapi hari ini adalah milik anda,” kata Sinner selepas tamat aksi.
“Syabas kepada keluarga dan pasukan anda. Tanpa sokongan hebat dari sekeliling, mustahil seorang pemain boleh memiliki karier yang luar biasa. Anda bermain dalam era paling hebat dalam tenis dan anda akan terus dikenang walaupun selepas bersara.”
Kemenangan itu juga menyaksikan juara Terbuka Amerika Syarikat dan Australia itu menjadi pemain pertama kelahiran selepas 1990 yang mencatat 16 kemenangan berturut-turut dalam kejohanan Grand Slam.
Sinner akan bertemu pemain Czech, Jiri Lehecka di pusingan ketiga.
© New Straits Times Press (M) Bhd