MONTE CARLO: Jannik Sinner mempamerkan aksi dominan untuk melangkah ke final kejohanan tenis Monte Carlo Masters buat kali pertama selepas menewaskan Alexander Zverev 6-1, 6-4, hari ini.
Pemain No.2 dunia itu hanya memerlukan 1 jam 22 minit untuk menamatkan cabaran lawannya sekali gus mengesahkan statusnya sebagai antara pencabar utama musim ini.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Sinner muncul pemain pertama sejak Novak Djokovic pada 2015 yang berjaya mara ke tiga final awal kejohanan ATP Masters 1000 dalam satu musim.
Lebih menarik, pemain berusia 24 tahun itu menyertai senarai legenda seperti Roger Federer dan Rafael Nadal yang pernah mencipta pencapaian sama.
Sinner membuka set pertama dengan cukup garang apabila mematahkan servis Zverev sebanyak tiga kali sebelum menutupnya dengan kemenangan mudah dalam tempoh 34 minit.
Set kedua menyaksikan Zverev cuba bangkit dengan servis lebih kemas namun tekanan berterusan daripada Sinner memaksa pemain Jerman itu terus bergelut.
Momentum akhirnya memihak sepenuhnya kepada Sinner yang menamatkan perlawanan menerusi pukulan forehand padu sambil mengekalkan rekod cemerlang hanya kehilangan satu set dalam 21 perlawanan terakhir Masters 1000.
Sinner kini menanti pemenang antara Carlos Alcaraz dan Valentin Vacherot dalam satu lagi aksi separuh akhir bagi menentukan siapa bakal mencabar kejuaraan di Monte Carlo.




