Rom: Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner berkata, beliau kini bersedia dari segi mental untuk kembali ke gelanggang tenis selepas menjalani penggantungan tiga bulan akibat pelanggaran peraturan anti-doping.
Namun, dia tetap berwaspada dengan keadaan tubuhnya dan berharap dapat menangani cabaran apabila beraksi di Terbuka Itali minggu ini.
“Badan masih perlu menyesuaikan diri,” kata pilihan utama kejohanan itu, yang mendapat ‘bye’ di pusingan pertama.
“Kesan melecet di tangan akan muncul semula bila kita dah tak biasa bermain lagi. Tapi semuanya baik. Saya sangat gembira dan sangat ingin tahu di mana tahap saya sekarang.”
Sinner menjalani sesi latihan semalam di hadapan kira-kira 5,000 peminat di tanah airnya, selepas tidak dibenarkan kembali berlatih sehingga 13 April mengikut syarat perjanjian anti-doping tersebut.
“Kekurangan sekarang ialah maklum balas penuh tentang tahap permainan saya. Itu hanya akan datang perlahan-lahan apabila saya kembali bermain,” kata Sinner yang akan menentang sama ada Mariano Navone atau pemain wild card Itali, Federico Cinà di pusingan kedua.
“Selepas perlawanan pertama, saya akan dapat gambaran jelas tentang diri saya dan di mana saya berada.”
Sinner bersetuju menjalani penggantungan selama tiga bulan pada 15 Februari akibat melanggar peraturan anti-doping.
Dia pada asalnya dikenakan hukuman ringan pada Ogos selepas dua ujian positif terhadap clostebol, sejenis steroid anabolik yang diharamkan.
Ketika itu, Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) memutuskan pemain Itali berusia 23 tahun itu tidak bersalah kerana bahan tersebut masuk ke dalam sistem badannya melalui ahli pasukan sokongan yang menggunakan semburan luka mengandungi clostebol, dan secara tidak sengaja memindahkannya kepada Sinner melalui rawatan tanpa sarung tangan.
Namun begitu, Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) membuat rayuan terhadap keputusan ITIA pada bulan berikutnya.
Sebelum pendengaran seterusnya berlangsung, Sinner bersetuju untuk menerima penggantungan tiga bulan – satu keputusan yang membolehkan dia tidak terlepas mana-mana kejohanan Grand Slam.
“Perjanjian seperti ini, saya sebenarnya tidak mahu lakukan pada mulanya,” akui Sinner. “Ia bukan sesuatu yang mudah untuk saya terima kerana saya tahu apa yang sebenarnya berlaku, tetapi kadang-kadang kita terpaksa membuat pilihan terbaik dalam saat yang sangat sukar.”
Sinner terlepas empat kejohanan ATP Masters 1000 berturut-turut – Indian Wells dan Miami pada Mac, serta Monte Carlo serta Madrid pada April tapi tetap mengekalkan kedudukan nombor satu dunia.
Dia kini memiliki rekod 7-0 untuk musim ini dan 73-6 sepanjang 2024, memenangi lapan daripada 19 gelaran kerjaya, termasuk Terbuka Australia, Terbuka AS dan Pusingan Akhir Nitto ATP.
© New Straits Times Press (M) Bhd