Siqma pertahan lagu raya baharu, akui ikut generasi masa kini

Siqma pertahan lagu raya baharu, akui ikut generasi masa kini

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi, Siqma, 33, menyifatkan kebanyakan lagu raya yang dihasilkan pada tahun ini adalah bagus sekali gus bersesuaian dengan citarasa generasi muda masa kini.

Siqma atau nama sebenar Rahmat Zulhilmi Abdul Razak berkata, jika segelintir pendengar menganggap lagu raya terkini tidak bagus, maka ia terpulang kepada penerimaan masing-masing.

“Pada saya, rasanya tahun ini Alhamdulillah banyak sahaja lagu raya yang bagus. Tetapi kalau ada mengatakan ia tidak bagus, terpulang kepada cita rasa telinga masing-masing.

“Sebagai contoh, lagu raya Aisha Retno iaitu Jodoh Lebaran, Nabila Razali (Tak Sabar Nak Raya) rasanya sedap pun didengar,” katanya ketika ditemui pada program iftar Ramadan di Pusat Transit Anjung Kembara, di sini, semalam.

Penulis lirik lagu Intan Payung ini berkata, peminat muzik tidak boleh menyamakan karya lagu raya dulu dengan sekarang kerana evolusi terhasil mengikut kesesusaian cita rasa generasi yang berbeza.

“Setiap generasi ada citarasa lagunya yang berbeza-beza. Macam saya daripada generasi millennium, tetap sokong lagu-lagu raya generasi dulu-dulu sebab saya suka.

“Lagu raya nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan juga Allahyarham Puan Sri Saloma. Tapi, lagu-lagu raya zaman sekarang pun kita ‘support’ juga,” katanya.

Ditanya polemik yang cuba menimbulkan isu ‘vibe’ lagu raya era kini didakwa kurang menyengat, Siqma berkata. industri hiburan tidak pernah lekang dengan pelbagai komen.

“Bagi saya, dunia hiburan ini tidak lari dengan komen-komen sebab itu perkara biasa. Netizen akan tetap memberi komen mereka sama ada yang baik atau buruk.

“Kita sebagai penggiat seni kena bersedia untuk hadap. Apatah lagi, sebenarnya apa yang kita buat adalah benda disukai dan kita nak kongsikan kepada pendengar.

“Kalau orang tak suka, jadi kita terpaksa jika boleh ubah, kita ubah. Tapi, saya tegaskan bahawa lagu raya baharu sekarang kebanyakannya bagus serta sedap didengar mengikut generasi masa kini,” katanya.

Siqma berkata, empat tahun lalu dia pernah muncul dengan lagu raya berjudul Rap Der Raya bersama Yonnyboii Luca Sickta, Kmy Kimo, Abubakarxli dan Asyraf Nasir.

Bagaimanapun, katanya buat masa ini sudah dua tahun dia berehat daripada menghasilkan lagu raya kerana bukan mudah untuk mendapat melodi dan lirik yang ‘catchy’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top