Portal Sirap Limau kini tampil dengan inisiatif baharu menerusi pelancaran kempen ‘Next Stop: Kerjaya!’, sebuah gerakan inspirasi yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Ogos 2025.
Kempen ini dirangka khusus untuk membantu golongan muda dan masyarakat umum dalam memahami serta membina laluan kerjaya mengikut minat dan kebolehan mereka, tanpa terlalu bergantung pada keputusan akademik.
Kempen ini menyasarkan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lepasan sekolah, graduan dan masyarakat umum untuk mengenal pasti kerjaya yang sesuai dengan aspirasi mereka. Menariknya, ia turut memberi penekanan kepada aspek kerjaya inklusif untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan meningkatkan kesedaran tentang penipuan pekerjaan, dua isu penting yang semakin menjadi perhatian dalam dunia kerjaya moden.
“Dengan tagline ‘Cipta Jalan, Bina Masa Depan’ dan tanda pagar #NextStopKerjaya, kami mahu bantu penjelajah kerjaya memahami langkah seterusnya dalam mencapai matlamat mereka melalui pendedahan yang relevan dan menyeluruh,” jelas Nurul Halifah Hamiruddin selaku Ketua Kandungan Editorial Sirap Limau.
Kempen ini turut disokong dengan laman web khas yang menghimpunkan pelbagai artikel, infografik dan video hasil kerjasama dengan tokoh industri, pakar bidang dan individu berjaya. Sirap Limau juga menjalinkan kolaborasi bersama platform antarabangsa seperti Coursera dan Jobstreet dalam menghasilkan kandungan bermanfaat.
Kempen ‘Next Stop: Kerjaya!’ merangkumi tiga fasa utama, masing-masing menyampaikan mesej dengan cara yang unik dan menyentuh hati.
1. Pit Stop Kerjaya: Fasa pertama memfokuskan pada penerbitan artikel dan video temubual bersama individu inspirasi. Kandungan ini memaparkan kisah benar dan pandangan dari pelbagai lapisan masyarakat mengenai perjalanan kerjaya mereka, sebagai panduan berguna kepada para pencari hala tuju.
2. Suara Pencari Kerja: Fasa kedua memberi ruang kepada komuniti untuk berkongsi pengalaman berkaitan kerjaya inklusif untuk OKU dan penipuan pekerjaan, menerusi dua hantaran khas di Facebook Sirap Limau. Episod podcast eksklusif berjudul ‘Realiti’juga diperkenalkan dalam fasa ini, memaparkan perjalanan kerjaya seorang tokoh forensik tempatan yang pernah mengendalikan kes bertaraf antarabangsa.
3. Destinasi SPM : Fasa ketiga menyasarkan calon SPM 2025, dengan satu hantaran khas di Facebook bagi menggalakkan orang ramai berkongsi tip, pengalaman dan cerita semangat untuk membantu calon-calon peperiksaan tersebut.
“Komen yang ditinggalkan di tiga hantaran iaitu kerjaya inklusif OKU, penipuan kerja dan persiapan SPM akan berpeluang dipilih untuk menerima saguhati istimewa dan eksklusif dari kami, bahkan cerita mereka juga akan dipaparkan di portal rasmi Sirap Limau,” ujar Nurul Nadzirah Roselan selaku Pengurus Kempen.
Sebagai sebahagian daripada kempen, Sirap Limau akan menganjurkan program bual bicara istimewa bertemakan ‘Cerita SPM Kita’ pada 20 Ogos 2025. Program ini bakal dihoskan oleh penyampai radio KOOL 101, Muaz Mohamed, serta menampilkan tiga tetamu istimewa, termasuk pelajar cemerlang, selebriti TV popular dan ahli politik ternama.
Disiarkan secara langsung menerusi TikTok Sirap Limau, program ini turut akan disaksikan oleh 30 calon SPM terpilihyang dijemput khas ke Media Prima sebagai penonton eksklusif.
Sementara itu, bagi penutup kempen, Sirap Limau akan menyertai Pameran Kerjaya 2025 anjuran TalentLabs pada 23 dan 24 Ogos sebagai sebahagian daripada aktiviti booth activation.
Sirap Limau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai gerakan ini dengan berkongsi kisah perjalanan kerjaya masing-masing kerana ini bukan sekadar kempen, ia adalah gerakan membina generasi masa depan yang yakin, bersedia dan berdaya tahan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi kempen di siraplimau.com/nextstopkerjaya dan ikuti perkembangan semasa di media sosial rasmi @siraplimau.