hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Special International Risk and Advance Security (SIRAS) Academy, Denmark, menawarkan latihan berkaitan perlindungan dan keselamatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengasas SIRAS Kent Haakonsson yang melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.
Kent berkata, SIRAS adalah akademi keselamatan terbesar di Eropah yang menawarkan latihan dalam hampir setiap aspek berkaitan perlindungan dan keselamatan.
Sementara itu, Azam menyambut baik hasrat akademi berkenaan dan berhasrat untuk melaksanakan latihan secara berkala mengikut modul yang bersesuaian.
“Keutamaan adalah kepada pegawai daripada unit Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM agar mereka sentiasa bersiap siaga dan dapat meningkatkan kemahiran serta kecekapan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata, memandangkan SPRM menyiasat kes berkaitan jenayah kolar putih, pegawai pengiring dan pegawai daripada sektor operasi juga perlu menghadiri kursus ini, khususnya dalam mengendalikan aspek keselamatan dan dokumen.
Dalam pada itu, Naib Canselor Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) Profesor Datuk Dr Kassim Noor Mohamed yang turut hadir dalam kunjungan hormat itu berkata, pihaknya juga bersedia menawarkan fasiliti di ELMU untuk melaksanakan latihan berkenaan.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Zuhairie Abu Bakar.
© New Straits Times Press (M) Bhd