mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan hos undangan Melodi, Sissy Iman yang memalingkan muka dari kamera sewaktu siaran langsung program terbitan TV3 malam tadi mengundang pertanyaan dikalangan penonton.
Ketika itu hos Melodi, Fikry Ibrahim sedang memperkatakan berkenaan isu hangat yang melanda seorang penyanyi dan pelakon yang ditahan polis berkenaan isu cabul remaja perempuan berusia 17 tahun.
Sissy pula dilihat seakan tidak mahu menonton video temubual serta mendengar kenyataan yang diberikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan kepada wartawan Melodi.
Dia dilihat masih memalingkan muka ke bahagian belakang pentas sehingga ditegur oleh Fikry yang memaklumkan temubual sudah selesai.
Fikry seterusnya mengusik Sissy sama ada dia mengenali artis terbabit dan mereka berkawan dan Sissy menafikannya.
“Tak tau…tak tau…tak tau…tak tau,” katanya seakan mengelak dari bercakap lanjut.
Terdahulu media melaporkan seorang artis terkenal ditahan polis 3 Jun lalu selepas melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja. Artis terbabit sudah ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd