Sissy zahir jiwa seni

Sissy zahir jiwa seni

syafil.syazwan@hmetro.com.my

PETANG Ahad lalu menyaksikan persembahan memukau di Sissy Imann The Showcase, di mana penyanyi dan komposer itu membawa 150 penonton di tempat duduk menelusuri perjalanan seninya.

Menampilkan lagu popularnya, Sissy menzahirkan jiwa seninya menerusi lantunan vokal merdu dan penuh penghayatan, diiringi dengan muzik yang dimainkan sendiri olehnya serta band.

Pentas acara di Black Box Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Damansara Perdana dihangatkan persembahan pembukaan menerusi lagu Overture dan seterusnya Balang Boneka dan Ribut.

Kelincahan dan keghairahan penonton membawa tenaga kepada Sissy dan seterusnya, meneruskan persembahan dengan lagu Berhentilah dan Ain’t Gonna Spoil My Day sebelum menyanyikan versi ‘cover’ lagu I Wish You Love dan Can’t Take My Eyes Off You.

Sissy kemudian turut berkongsi perjalanannya merakamkan lagu di Studio Abbey Road, London.

“Awalnya saya ke London untuk berjalan-jalan. Kemudian, saya terfikir mungkin saya boleh buat benda lain juga sebab dah lama saya impikan untuk bekerja dengan orang luar.

“Alhamdulillah, Allah dah tentukan rezeki saya untuk merakamkan lagu di Abbey Road itu. Sebelum itu, saya dah buat pembentangan siap dengan PowerPoint di depan ibu bapa saya sebab saya nak mohon ‘dana’ daripada mereka.

“Selepas 10 tahun ‘berpuasa’, tak beli barangan berjenama, dapatlah ‘dana’ untuk pergi ke London, sekali gus merakamkan album,” katanya.

Berkongsi mengenai perjalanan seninya, Sissy membuka rahsia mengenai bagaimana dia yang pada awalnya bukan peminat muzik, akhirnya jatuh cinta kepada cabang seni itu.

“Saya sebenarnya tak minat muzik. Dari kecil, saya tak minat langsung muzik. Tapi, saya ‘dipaksa’ oleh seorang individu iaitu ayahanda saya. Dia yang jemput cikgu piano datang rumah untuk mengajar saya. Setiap kali cikgu piano datang, saya akan buat pelbagai helah antaranya saya buat macam tak ada orang di rumah.

“Satu hari, ayahanda saya cakap, kalau dapat main satu lagu yang boleh buat dia menyanyi, dia akan berhenti paksa saya dan saya boleh berhenti bermain muzik. Akhirnya, saya berjaya mainkan satu lagu.

“Namun, 11 tahun berlalu dan saya tak berhenti berkarya kerana ia sudah tertanam dalam jiwa saya sehingga saya berada di posisi saya sekarang,” katanya.

Di Sissy Imann The Showcase juga, Sissy turut mempersembahkan lagu duetnya bersama penyanyi dan pelakon, Naim Daniel berjudul Titik Mula yang juga menjadi titik permulaan untuk kerjasama mereka.

“Saya dan Naim dah mulakan proses untuk album duet kami dan duet ini dikenali sebagai Warga Sayu. Ia akan memuatkan enam lagu hasil ciptaan kami berdua dan single pertama adalah lagu yang anda dengarkan tadi, Titik Mula.

“Ia berkonsepkan lagu ‘healing’ dan sasaran saya adalah untuk mempersembahkannya di acara festival contohnya, Rainforest Festival. Insya-Allah dalam masa terdekat, album ini akan dikeluarkan,” katanya.

Selain Naim, penonton turut dihiburkan dengan persembahan oleh sahabat Sissy sendiri, Sarah Suhairi yang menyanyikan lagu berjudul Bebas.

Selain itu, emosi penonton turut tersentuh menerusi persembahkan Jeritan Batinku, menampilkan bapa Sissy, Mohammad Kamil Mustaffa sebagai penyanyi, manakala Sissy bertindak sebagai pemain piano.

Acara anjuran Seni Unggul Production milik keluarga Sissy itu turut menyaksikan dia dan bandnya yang dianggotai Irena Taib (gitar), Anwar Amzah (gitar akustik), Melina William (bass), Nisa Addina (biola) dan Ruviyamin (dram).

Persembahan berdurasi sekitar dua jam itu turut menyaksikan persembahan lagu lain antaranya Tersakiti, Namaku Padamu, Cinta Seadanya dan Pesanan Ayahanda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top