Sistem bekalan elektrik negara stabil, terjamin – Fadillah

Sistem bekalan elektrik negara stabil, terjamin – Fadillah

mdroji@bh.com.my

Kuching: Sistem bekalan elektrik negara kekal stabil dan terjamin walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global susulan krisis geopolitik di Asia Barat ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementeriannya sedang memantau secara rapi perkembangan semasa termasuk penutupan laluan di Selat Hormuz oleh Iran pada 2 Mac lalu yang memberi kesan kepada pasaran tenaga global.

Bagaimanapun katanya, perkembangan berkenaan tidak menjejaskan tahap ketersediaan dan jaminan bekalan elektrik negara setakat ini.

Menurutnya, sistem penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia menggunakan sekitar 40 hingga 45 peratus gas asli sebagai bahan api utama.

“Sebahagian besar bekalan gas itu diperoleh daripada sumber domestik di Kerteh serta kawasan pembangunan bersama Thailand-Malaysia Joint Development Area (JDA).

“Sehubungan itu, bekalan gas dalam negara ketika ini adalah stabil dan mencukupi untuk menampung operasi loji jana kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai tarif elektrik, beliau berkata kerajaan melalui kerangka Incentive Based Regulation (IBR) di bawah tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) dari 2025 hingga 2027 komited melindungi kebajikan pengguna daripada impak kenaikan kos bahan api global.

Katanya, sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) setiap bulan berdasarkan pergerakan kos bahan api sebenar di pasaran.

“Pada masa ini, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt jam (kWj) sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan kos bahan api.

“Ini bermakna kira-kira 85 peratus pengguna domestik di seluruh negara tidak terkesan dengan turun naik harga bahan api di pasaran antarabangsa sekali gus membantu mengekalkan kestabilan perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan semasa kadar AFA dijangka kekal dalam bentuk rebat sehingga April 2026, namun berpotensi berubah sekiranya kos bahan api global meningkat dan ketegangan di Asia Barat berterusan.

Menurutnya, sejak Julai 2025 kerajaan sudah menyalurkan tampungan subsidi berjumlah RM2.506 bilion kepada pengguna melalui rebat bil elektrik sebagai insentif menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap.

Katanya, kerajaan juga sedang meneliti langkah mitigasi tambahan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan sehingga memberi tekanan besar kepada kos bahan api global.

“PETRA akan terus bertindak proaktif bagi mengimbangi keterjaminan tenaga negara dengan keupayaan ekonomi pengguna supaya tarif elektrik kekal pada kadar yang munasabah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan pengguna mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dan berhemah bagi membantu mengurangkan komitmen bil bulanan selain menyumbang kepada kelestarian sistem tenaga negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top