SKUAD muda negara mempunyai tempoh masa yang amat singkat untuk mempersiapkan pasukan ampuh menjelang kempen Kumpulan F Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2026 di Thailand awal September ini.
Justeru penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop berharap skuad bimbingan Nafuzi Zain itu dikekalkan bagi membolehkan mereka menjalani latihan bersama sebagai satu pasukan.
Malah katanya, jurulatih itu juga wajar diberi peluang untuk mencari tambahan pemain dalam usahanya untuk membentuk pasukan yang mantap.
“Saya cadangkan Nafuzi simpan pemain ini dan cari lagi tambahan untuk dikumpulkan dalam jangka masa panjang dan berlatih bersama. September sudah tidak jauh, masa kian suntuk.
“Tidak perlu hantar mereka balik ke kelab masing-masing. Saya percaya mereka tidak dapat main pun (kesebelasan utama), cuma datang berlatih sahaja,” katanya.
Prestasi hambar skuad Harimau Muda dalam saingan Piala ASEAN B-23 di Indonesia baru-baru ini mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air mengenai tahap persiapan dan kualiti pasukan muda negara yang dilihat tidak sempurna.
Dalam kempen itu, skuad Harimau Muda hanya mengutip empat mata hasil satu kemenangan ke atas Brunei (7-1), seri tanpa jaringan dengan Indonesia dan tewas 0-2 kepada Filipina, sekali gus gagal melangkah ke pusingan seterusnya.
“Saya setuju kita perlu bergerak ke hadapan, tetapi kejohanan ini mendedahkan bahawa sistem skuad muda kita yang terlalu lemah,” ujar Zainal Abidin.
Justeru beliau berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius pusingan kelayakan tersebut kerana ia selaras dengan revolusi bola sepak negara.
“Andai kita tidak layak ke Piala Asia B-23, tiada guna revolusi bola sepak yang dicanang-canangkan selama ini.
“Jika ini berlaku, kita hanya ada satu skuad sahaja yang boleh dibanggakan iaitu skuad senior, tetapi pasukan remaja lain lingkup,” katanya.
Pada kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2026, Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama tuan rumah, Thailand, Lubnan dan Mongolia dengan saingan bermula 1 hingga 9 September.
Malaysia pernah diundi bersama Thailand pada edisi 2023 dengan kedua-dua negara layak sebagai juara dan naib juara.
Sejumlah 11 juara kumpulan bersama empat naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Arab Saudi dengan Jepun turun sebagai juara bertahan.
Ketiga saingan edisi lalu, skuad negara kendalian Juan Torres Garrido menutup cabaran di peringkat kumpulan apabila kalah kesemua tiga perlawanan.
Â
Â