Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dilancarkan

Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dilancarkan

yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), hari ini, bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIIMs) yang digunakan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) sejak lebih 20 tahun lalu.

NIISe akan mewujudkan ekosistem penguatkuasaan digital bertunjangkan maklumat lebih tepat dan boleh dipercayai.

Malah, operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dilaksanakan secara lebih efektif berdasarkan maklumat diperoleh melalui ‘big data analytics’ (BDA) diwujudkan dalam sistem itu.

Ia antara lain dilengkapi penjanaan identiti unik bagi setiap pelawat ketika ketibaan di pintu masuk negara, menerusi pengambilan biometrik cap jari serta wajah, sekali gus menyumbang kepada keberkesanan penguatkuasaan secara digital pada masa depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata penggunaan NIISe akan memodenkan perkhidmatan Imigresen melalui aplikasi dilengkapi ciri canggih dan terkini.

Selain itu, beliau berkata, sistem baharu berkenaan dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan Imigresen dan mampu mengelakkan ketirisan hasil kerajaan.

“NIISe adalah sistem keimigresenan yang lebih canggih, bersepadu dan holistik, dengan dilengkapi teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Of Things (IOT) serta BDA.

“Ia membuktikan komitmen berterusan kerajaan melalui KDN untuk sentiasa memperkasakan sistem keimigresenan negara dari semasa ke semasa, sejajar cabaran semakin kompleks dan rumit.

“Keselamatan adalah agenda utama kerajaan, dan KDN bertanggungjawab memastikan semua rakyat merasakan benar-benar selamat tinggal dalam negara,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran NIISe, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud; dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryll Sani Abdullah Sani.

NIISe adalah sistem menyeluruh dan bersepadu, memanfaatkan teknologi terkini, sofistikated serta mengoptimumkan pengautomasian bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan keimigresenan memenuhi jangkaan pengguna.

Sistem dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024 itu merangkumi 13 modul utama dan enam sokongan.

Antaranya, kawalan imigresen dan stok; penguatkuasaan; perisikan; pasport dan dokumen perjalanan; visa, pas dan permit; kutipan hasil; serta pengurusan depoh, tahanan, ekspatriat, pekerja asing, keselamatan, perkhidmatan dan pentadbiran.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, perkara utama perlu dipertingkat ialah kawalan di pintu masuk negara untuk memastikan setiap kemasukan adalah lulus tapisan dan layak.

Justeru bagi memperkasakan sistem keimigresenan negara dari aspek keselamatan siber, beliau berkata, NIISe akan menyediakan National Immigration Command Centre (NICC) sebagai pusat kawalan keselamatan.

“NIISe juga akan dilengkapi ciri keselamatan seperti ‘multi-factor authentication’ yang memerlukan kombinasi kata laluan, ID dan biometrik pengguna, sebelum kakitangan jabatan atau kementerian dibenarkan mengakses sistem.

“Sebarang aktiviti dalam talian yang tidak teratur serta mencurigakan, akan dipantau secara menyeluruh melalui NICC dan tindakan pencegahan dapat diambil dengan lebih cepat dan berkesan berbanding sistem sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah turut mengucapkan tahniah kepada Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan kejayaan menumpaskan sindiket menggodam sistem MyIIMs yang menyebabkan negara kerugian hasil kutipan levi pekerja asing bernilai jutaan ringgit setiap tahun, baru-baru ini.

“Sindiket menggunakan kepakaran teknologi maklumat (IT) yang tinggi itu dipercayai mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak teratur dan mendaftarkan PATI ke dalam pangkalan data Imigresen tanpa pengetahuan jabatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top