Sistem pertahanan canggih gagal sekat serangan Houthi

Sistem pertahanan  canggih gagal sekat serangan Houthi

Baitulmaqdis: Kegagalan memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman memaksa Israel menutup sementara lapangan terbang antarabangsa utamanya pada Ahad, lapor CNN.

Ia sekali gus mendedahkan kelemahan negara itu dan keupayaan berterusan pemberontak Houthi untuk menyerang sasaran yang jauh meskipun terdapat kempen ketenteraan Amerika Syarikat yang berterusan.

Penerbangan dihentikan di Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv selama kira-kira 30 minit pada pagi Ahad, selepas satu peluru berpandu mendarat di sekitar kawasan lapangan terbang, berikutan apa yang dikatakan tentera Israel sebagai “beberapa percubaan” untuk memintas.

“Keputusan pemintasan sedang dikaji,” kata Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Pihak tentera melepaskan pemintas jarak jauh Arrow ke arah peluru berpandu yang masuk, kata seorang jurucakap IDF.

AS juga mempunyai sistem antipeluru berpandu Thaad yang canggih yang ditempatkan di Israel.

Susulan itu, Houthi yang disokong Iran di Yaman mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, dengan mengatakan ia dilakukan “sebagai penolakan terhadap jenayah genosid (Israel) terhadap rakyat Gaza.”

Kumpulan itu kemudian memberi amaran bahawa mereka boleh menyerang lagi dan akan “mengenakan sekatan udara yang menyeluruh” ke atas Israel dengan “berulang kali menyasarkan lapangan terbang,” terutamanya Ben Gurion.

Ia juga menyeru syarikat penerbangan antarabangsa untuk merancang sewajarnya dan membatalkan semua penerbangan berjadual ke lapangan terbang Israel.

Menurut CNN, serangan itu nampaknya kali pertama lapangan terbang antarabangsa Israel berjaya disasarkan oleh Houthi.

“Sistem pertahanan Amerika dan Israel gagal memintas peluru berpandu yang ditujukan ke Lapangan Terbang Ben Gurion,” kata Yahya Saree, jurucakap Houthi dalam satu kenyataan.

Beliau turut berkata, lapangan terbang itu disasarkan dengan “peluru berpandu balistik hipersonik.”

Dalam pada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berikrar akan melakukan serangan lebih lanjut terhadap Houthi.

Kabinet keselamatan Israel bersidang pada petang Ahad untuk membincangkan insiden itu, menurut seorang pegawai Israel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top