Sistem sebut harga perolehan ATM ditambah baik – Mohamed Khaled

Sistem sebut harga perolehan ATM ditambah baik – Mohamed Khaled

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Kerajaan menambah baik sistem dan pendekatan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi beberapa perkara terutamanya dalam soal sebut harga.

Perkara itu antara yang dipersetujui dalam rundingan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersama Kementerian Kewangan (MOF) berhubung pelepasan dana susulan pembekuan perolehan ATM.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, akan datang, setiap jawatan kuasa dalam membuat sebut harga perolehan perlu terdiri daripada anggota atau ahli rentas perkhidmatan.

Beliau berkata, selain itu, kaedah tender terbuka antarabangsa juga digunakan jika membabitkan perolehan pembekal peralatan dari luar negara.

“Jika sebut harga perolehan itu dibuat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), mesti ada ahli dari perkhidmatan lain seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atau Tentera Darat (TDM) dalam jawatan kuasa itu, begitu juga yang lain.

“Selain itu, kerajaan juga mahu supaya perolehan daripada pembekal, jika ia libatkan peralatan luar negara, mesti dilakukan secara tender terbuka antarabangsa.

“Jika dahulu tidak buat begitu, ejen akan masuk, jadi harganya akan naik, jadi kali ini perlu buat secara langsung,” katanya ketika sidang media selepas Program Back To School Parlimen Pasir Gudang di Dewan Muafakat, Jalan Sinar, Bandar Seri Alam di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan semua keputusan perolehan membabitkan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Terdahulu, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, rundingan berhubung pelepasan dana susulan pembekuan perolehan ATM dijalankan dengan MOF selepas MINDEF dipanggil MOF untuk berbincang lanjut berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pembekuan perolehan tidak membabitkan soal pembekalan makanan.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, biarpun dana perolehan ATM masih dibekukan, ia tidak menjejaskan kesiapsiagaan anggota tentera dan operasi ATM.

“Ada sesetengah perkara kita rasakan tidak boleh berpanjangan (pembekuan) seperti makanan sebab bila tentera beroperasi, dia perlukan pembekalan makanan dan juga seperti kenderaan, dalam isu alat ganti dan minyak, ini semua memang kita minta untuk dikecualikan daripada pembekuan,” jelasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top