Kuala Lumpur: Sistem terminal MyKasih dilapor tergendala akibat menerima jumlah trafik tinggi susulan pelaksanaan hari pertama penebusan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), hari ini.
Sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MOF) dan MyKasih dalam satu kenyataan memohon maaf berhubung gangguan tersebut.
“Susulan jumlah transaksi yang sangat tinggi sempena hari pertama penyaluran Penghargaan SARA, sistem terminal MyKasih telah mengalami kelewatan pemprosesan transaksi susulan lonjakan pembelian.
“Pembelian masih boleh dilakukan, namun sebahagian premis runcit mungkin menghadapi kesukaran untuk memproses transaksi akibat permintaan sistem yang terlalu tinggi,” ujar kenyataan itu dilapor Buletin TV3.
Bagaimanapun, kenyataan sama berkata pasukan teknikal MyKasih kini sedang giat menyelesaikan isu berkenaan.
Katanya, sistem dijangka kembali beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat.
Terdahulu, bermula 31 Ogos 2025, seramai lebih 22 juta penduduk akan menerima manfaat Bantuan SARA dengan jumlah peruntukan bernilai RM2 bilion, sekali gus mencatat sejarah sebagai kali pertama bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa tanpa pengecualian.
© New Straits Times Press (M) Bhd

