Kuala Lumpur: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan pemergian Allahyarham Datuk S Atan sebagai satu kehilangan besar buat industri muzik tanah air.
Menerusi hantaran di Instagram, Siti meluahkan rasa kehilangan dan berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan S Atan.
“Saya dan seluruh keluarga SN Legacy Sdn Bhd serta Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk S Atan di atas pemergian insan tersayang.
“Saya secara peribadi merasakan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar kepada industri muzik di atas sumbangannya dalam penciptaan lagu-lagu tradisional.
“Saya sangat bertuah kerana dapat menyanyikan lagu-lagu ciptaannya yang jarang sekali saya tinggalkan dalam mana-mana persembahan atau konsert lagu-lagu tradisional,” tulisnya.
Dalam hantaran itu, Siti juga turut berkongsi pengalamannya merakamkan pelbagai lagu-lagu ciptaan S Atan.
“Banyak lagu ciptaannya saya rakamkan seperti Joget Kasih Tak Sudah, Berpantun Kasih, Joget Menanti Kasih, Joget Senyum Memikat, lagu-lagu raya dan beliau turut menjadi penerbit kepada lagu-lagu tradisional di dalam album-album saya.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




