Siti Jamumall terharu Vida sanggup taja kos bersalin di hospital

Siti Jamumall terharu Vida sanggup taja kos bersalin di hospital

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh sensasi Siti Jamumall, 27, terharu apabila usahawan Datuk Seri Vida (DSV) sanggup menaja sepenuhnya kos untuknya bersalin di sebuah hospital swasta yang menelan kos RM10,000.

Siti atau nama sebenarnya Suriani Wahidin berkata DSV sengaja memilih negeri Perak untuk lokasi bersalin supaya mudah buatnya memantau keadaannya selepas melahirkan anak ketiga nanti.

“Tidak sangka dalam banyak orang tapi saya yang dipilih untuk ditaja sepenuhnya dan kos keseluruhan mencecah RM10,000. Saya rasa Datuk Seri Vida pilih Ipoh sebab dekat dengan kediamannya malah mudah sekiranya nak pantau saya ketika berpantang,” katanya.

Terdahulu Siti berkongsi satu rakaman video memaparkan dirinya mengunjungi sebuah hospital swasta bersama ibunya dan Vida di aplikasi TikTok.

Menerusi kunjungan itu mereka dilihat sedang meninjau lokasi yang akan menjadi tempat bersalin anak ketiga Siti yang dijangka pada awal September nanti di Ipoh, Perak.

Dalam video terbabit, Siti dilihat teruja dan tidak dapat menahan sebak sebelum mengelap air matanya lalu menyandarkan wajah di bahu DSV.

“Saya pun tidak tahu kenapa Datuk Seri Vida sanggup menaja mungkin dia dapat merasakan kesakitan yang saya lalui ini,” tambahnya.

Memahami keperitan ditanggung Siti membuatkan Vida mengambilnya menjadi anak angkat sekali gus menjaga kebajikannya serta anak bakal dilahirkan kelak.

“Allah hadirkan saya Mama (kandung) dan Mama Vida… ketika ujian datang bertubi-tubi, mama Vida hadir bagaikan pelindung. Pengorbanan mama bayarkan bil hospital ini, Siti takkan lupa sampai akhir nyawa,” katanya.

Bukan mengeluh, Siti bagaimanapun menyifatkan pengalaman lalu dalam rumah tangga banyak mengajarnya erti perit kehidupan.

“Saya anggap ini adalah ‘pelangi selepas hujan’ sebab ujian dalam hidup saya besar selepas diceraikan dan dimalukan kawan sendiri,” luahnya.

Siti menjadi bualan hangat netizen selepas tular satu video rakaman sesi siaran langsung dirinya diceraikan suami yang juga pempengaruh, Aiman Tak Kesah secara langsung di aplikasi TikTok pada Mei lalu.

Siti sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohammad Syafiq pada 2019 namun bercerai selepas tiga tahun.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Putra Adam Rizki, 6, dan Putra Aiman Zafran, 4.

Siti kemudiannya bernikah dengan Aiman dalam majlis tertutup di Satun, Thailand pada Jun 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top