Selepas tiada permohonan maaf dalam tempoh 24 jam, penyanyi Siti Nordiana nekad meneruskan saman terhadap lima individu yang didakwa memfitnahnya pada sesi siaran langsung di Instagram baru-baru ini.
Menurut laporan Harian Metro, penyanyi berusia 37 tahun itu tetap dengan pendirian dengan mengambil tindakan undang-undang selepas nama dan reputasinya tercalar.
“Atas nasihat peguam, saya sudah membuat satu laporan polis berbentuk penafian di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Cheras pada 23 Julai lalu…
“…dan seterusnya membuat kenyataan media bagi menjelaskan perkara sebenar kepada umum,” katanya yang lebih mesra dipanggil Nana.
Sebelum ini, lima individu terbabit iaitu Sheila Razlan dan suaminya Lan Solo, Syura, Sam Samin serta Aida G yang membuat sesi ‘live’ berborak didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap penyanyi tersebut.
Difahamkan, tindakan saman akan difailkan selewat-lewatnya Isnin ini menerusi khidmat peguamnya, Abang Azlan Abang Ariffin.
Sumber: Harian Metro (Norhayati Nordin)