“Siti Nurhaliza Berperanan Penting Didik & Jadi Contoh Teladan Penghibur Muda Tanah Air” – Perdana Menteri

“Siti Nurhaliza Berperanan Penting Didik & Jadi Contoh Teladan Penghibur Muda Tanah Air” – Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau menerima kunjungan hormat daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang hadir mewakili Yayasan Nurjiwa.

Menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman media sosial, Instagram Anwar, pertemuan tersebut membincangkan pelbagai isu termasuk peranan signifikan Siti Nurhaliza dalam membimbing generasi baharu dalam dunia seni tanah air.

“Saya telah menerima kunjungan hormat daripada Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Taruddin, bersama suami beliau, Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa, yang mewakili Yayasan Nurjiwa.

“Pelbagai topik telah dibincangkan, antaranya peranan penting yang boleh dimainkan oleh Siti Nurhaliza dalam mendidik serta menjadi contoh teladan kepada para penghibur dan artis muda masa kini,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga menekankan kepentingan kepelbagaian dalam persembahan seni agar kekal relevan dengan perubahan zaman dan kehendak generasi baharu.

Tambah beliau, dunia seni perlu sentiasa berkembang selari dengan peredaran masa tanpa mengetepikan nilai-nilai budaya dan identiti tempatan.

Ia penting bagi memastikan industri terus subur dan mampu menarik minat khalayak muda.

Hantaran berkenaan bagaimanapun mencuri perhatian selepas Anwar menggunakan muzik latar nyanyian Siti Nurhaliza berjudul Seribu Kemanisan pada hantaran berkenaan.

Scroll to Top