Biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur serta tidak menyangka apabila dinobatkan sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara.
Memetik Harian Metro, kekal sebagai penyanyi nombor satu Malaysia, pemilihan Siti Nurhaliza memenangi anugerah berprestij itu diatas kejayaan beliau memenangi 300 anugerah sepanjang 30 tahun bergelar anak seni.
BACA: Siti Nurhaliza Beli ‘HeadPiece’ Murah Di TikTok, Netizen Kata Nampak Mahal
“Alhamdulillah, terima kasih tidak terhingga atas kejayaan ini. Saya pun sebenarnya tidak fikir fasal ini (untuk menang anugerah) kerana sibuk dengan aktiviti dan juga kerja yang perlu diselesaikan.
“Jadi, kalau ada pihak-pihak yang menghargai kerjaya seni saya selama ini, syukur Alhamdulillah kepada rezeki Allah. Ini kerana, saya bekerja selama ini pun atas sebab cinta dan minat terhadap muzik,” katanya.
Sementara itu, Siti berkata dia akan sentiasa melakukan yang terbaik bukan kerana untuk mendapatkan anugerah tetapi kerana rasa cintanya dalam seni.
“Kejayaan ini saya anggap sebagai suntikan semangat untuk lebih maju lagi pada masa akan datang. Bagi saya, setiap orang boleh melakukan yang terbaik dalam diri dan sumbangan kepada negara.
“Pada masa sekarang, saya sudah berada dalam fasa memberi semula kepada masyarakat dalam apa sahaja yang saya lakukan. Malah, status lagenda itu adalah satu penghargaan yang besar buat saya,” katanya.
Sumber: Harian Metro




