Kuala Lumpur: Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza enggan mengulas isu solat tanpa memakai telekung seperti foto tular sejak beberapa hari lalu sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial.
Siti berpendirian isu berkaitan ibadat bukan perkara yang perlu dibesarkan apatah lagi dijadikan polemik, berikutan penjelasan mengenainya sudah diberi pihak yang lebih arif mengenai agama.
“Bagi saya, soal yang berkaitan dengan ibadat, saya tidak perlu hendak membalas semula sebab ustaz pun sudah jelaskan. Tidak perlu pun saya kata apa-apa. Kita yang beragama Islam pun tahu apa yang sepatutnya.
“Tetapi, pada masa sama, saya masih lagi memperbaiki diri dan amalan saya. Apa yang saya harapkan, Allah semakin beri saya kekuatan dan kesabaran. Bukan mudah untuk menjadi anak seni dalam dunia yang semakin mencabar, di mana setiap apa yang kita buat pasti akan jadi tumpuan.
“Terutamanya apabila saya anak seni. Kalau orang lain mungkin dia tidak ditulis mengenai perkara ini. Tetapi, tidak apalah, bagi saya tiada masalah. Bulan Ramadan yang mulia ini, kita bersangka baik sahajalah,” katanya ketika ditemui pada majlis iftar Jiwa Prihatin di sebuah hotel, di sini, semalam.
Siti berkata, pemakaian jubah ketika solat bukan perkara baharu dan dia tidak berniat untuk mempengaruhi sesiapa.
“Solat guna jubah, bukan bermula dari saya. Sebelum ini, orang sudah tahu kita solat perlu tutup aurat. Tidaklah saya buat itu untuk orang ikut saya. Saya fikir ini terpulang kepada individu.
“Apa yang ditetapkan agama seperti menutup aurat ketika solat dengan sempurna, itu sudah cukup untuk kita tahu,” katanya.
Pada masa sama, Siti mengakui pendapat yang diberi adakala boleh dijadikan peringatan, namun berharap perkara itu tidak sampai menjurus kepada fitnah.
“Kadang-kadang ada orang bercakap untuk tegur kita, mungkin ia boleh bagi kelebihan buat kita. Bagi saya, ini memang normal pada zaman media sosial, mudah jadi trend.
“Semua orang masing-masing punya pendapat, cuma jangan sampai jatuh fitnah sahajalah. Memang dunia media sosial, inilah suka dan duka atau asam garamnya.
“Tetapi kalau kita tulis sampai jatuh fitnah yang boleh datangkan dosa, sudah jadi kesalahan untuk kita. Kita kena cepat-cepat sedar. Iyalah, masing-masing tahu macam mana nak buat,” katanya.
Siti juga enggan menyalahkan individu yang merakam foto berkenaan, sebaliknya berpendapat isu timbul susulan komen segelintir pihak yang memperbesarkannya.
“Mungkin juga (pihak) yang rakam gambar itu tidak berniat untuk mencetuskan sensasi. Tetapi, apabila orang yang komen jadikan ia satu isu. “Jadi, saya tidak mahu cakap orang yang rakam foto itu salah. Saya tidak mahu cakap tetapi orang yang memperkatakan itu, dia bertanggungjawablah dengan apa yang dia katakan… itu sahaja.
“Tidak mengapalah, Siti Nurhaliza buat apa, akan ada orang bercakap mengenai diri saya. Tak kisahlah soal baju, konsert, produk atau apa sahaja yang berkait Siti, orang suka untuk bercakap,” katanya.
Katanya, beliau mampu menilai setiap komen dan penulisan yang dibuat mengenai dirinya.
“Saya boleh nilai sendiri penulisan itu. Saya boleh nilai komen di mana ada antaranya kita boleh tahu. Kalau peminat, saya sudah faham peminat saya.
“Tetapi kalau yang menulis sebaliknya, saya tahu dia bukan peminat saya. Tidak mengapa, selagi saya masih lagi boleh memberi semula kepada masyarakat dan peminat dalam bentuk yang positif, saya akan teruskan,” katanya.
Bagaimanapun, Siti mengakui ada keadaan tertentu yang memerlukan dirinya bersuara.
“Bukanlah semua benda yang terjadi saya hendak suarakan. Cuma saya fikir, kadang-kadang ada perlunya saya bercakap.
“Saya sudah melalui pengalaman dari tahun pertama sampai sudah 30 tahun dalam industri seni. Apa yang perlu saya suarakan, saya akan suarakan. Maknanya, kalau saya tidak suarakan, bermaksud perkara itu tidak menjadi apa-apa kesan dalam diri saya,” katanya.
Sejak beberapa hari lalu, tular foto memperlihatkan Siti menunaikan solat dengan berjubah selepas menghadiri sebuah majlis berbuka puasa, lantas mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Isu itu turut mendapat perhatian Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang dilapor menjelaskan bahawa solat penyanyi nombor satu negara itu adalah sah.
Izhar dilapor berkata, antara syarat sah solat bagi wanita ialah menutup aurat dengan sempurna, manakala pemakaian telekung bukanlah kewajipan dari sudut hukum, sebaliknya lebih kepada adat dan kebiasaan masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




