Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Yayasan Nurjiwa terus mengorak langkah memperkasa pendidikan dan kebajikan apabila bukan sahaja memperkenalkan insentif tunai RM500 kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2024 yang mendapat semua A, malah meneruskan komitmen membantu pelajar daripada keluarga B40 dan anak yatim menerusi penyediaan makanan harian.
Buat pertama kalinya, yayasan yang diasaskan penyanyi tersohor negara itu menyampaikan insentif pendidikan kepada 401 pelajar cemerlang hasil kerjasama strategik bersama pusat tuisyen PTTI, dengan jumlah keseluruhan bantuan mencecah RM200,500.
Menurut Siti, usaha ini merupakan tanda penghargaan kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi akademik membanggakan, dan pada masa sama sebagai galakan kepada generasi pelajar akan datang.

“Ini adalah kali pertama buat Yayasan Nurjiwa untuk menyerahkan insentif kepada pelajar cemerlang dengan keputusan SPM semua A.
“Harapan kami agar dengan usaha ini dapat memberikan motivasi kepada calon-calon SPM akan datang berusaha untuk mendapatkan kejayaan yang sama,” katanya kepada XTRA.
Siti ditemui di Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Ahad.
Tidak hanya tertumpu kepada pelajar cemerlang, Yayasan Nurjiwa juga giat melaksanakan program kebajikan berterusan untuk membantu pelajar kurang berkemampuan.
Hampir 100 pelajar dari keluarga B40 serta anak yatim menerima bantuan makanan setiap hari melalui inisiatif tersebut.


Siti menjelaskan, usaha tersebut sudah dijalankan sejak beberapa tahun lalu dan akan diteruskan demi memastikan pelajar yang memerlukan tidak tercicir dalam pelajaran akibat kekangan kewangan.
“Setiap hari kami akan menyediakan makanan kepada hampir 100 pelajar yang kurang berkemampuan, terutamanya daripada golongan B40.
“Bukan itu saja, Yayasan Nurjiwa juga menyediakan bantuan makanan kepada anak-anak yatim sejak beberapa tahun lalu dan diharapkan ia dapat membantu lebih ramai pelajar memerlukan lagi,” jelasnya.
Majlis berprestij itu turut diserikan dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu termasuk ibu bapa, pelajar serta tokoh dan selebriti terkenal tanah air.



