mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Tak adalah merajuk. Perkara ini sudah biasa,” kata Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, yang terpalit kontroversi apabila persembahannya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selasa lalu menjadi bahan perdebatan netizen.
Siti ketika ditemui berkata, dia tetap akan mengadakan persembahan untuk acara rasmi jabatan kerajaan yang diadakan.
Katanya, dia mempunyai penilaian sendiri dan apa yang dilakukannya adalah tanda penghargaan buat mereka yang banyak berkorban dan berjasa untuk negara.
“Saya tetap Siti Nurhaliza dan sudah matang. Saya tahu persembahan bagaimana yang saya boleh menyanyi secara percuma atau berbayar.
“Saya tahu bila masanya saya perlu berbakti kepada negara dan buat persembahan untuk menghargai orang,” katanya ditemui pada majlis Malam Gala dan Tayangan Perdana Filem Telaga Suriram, di sini, malam tadi.
Siti menyanyikan lagu runut bunyi berjudul Sesal ciptaan Nurzaidi Abdul Rahman untuk filem arahan Osman Ali itu.
Terdahulu, nama Siti bersama Datuk Jamal Abdillah dan Mila Jirin menjadi perdebatan apabila tampil mengadakan persembahan pada Majlis Sambutan Aidilfitri KKM, Selasa lalu.
Ia menimbulkan salah faham apabila beberapa portal menyiarkan berita yang menghentam Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan kementeriannya kerana berbelanja besar untuk Majlis Hari Raya mereka.
Siti kemudian menjelaskan di media sosialnya bahawa dia dijemput hadir sebagai tetamu pada acara terbabit dan bukan diundang secara rasmi untuk menjayakan persembahan.
Dia bagaimanapun sudi menyanyi kerana mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran.
Menurutnya, enjelasan ini penting supaya mana-mana pihak tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama dan gambarnya dengan sesuatu berita yang tidak sahih.
© New Straits Times Press (M) Bhd




