SK Riong uji skuad MFL menjelang Sukan Hawana 2024

SK Riong uji skuad MFL menjelang Sukan Hawana 2024

firdaushashim@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pasukan bola sepak SK Riong yang dianggotai pengamal media daripada The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dalam persiapan terakhir menjelang Kejohanan Bolasepak Sembilan Sebelah (9s) dan Bola Jaring antara media yang bakal berlangsung, Ahad ini.

Kejohanan dianjurkan Bernama itu diadakan sempena Sukan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024, sekali gus mengeratkan hubungan agensi media tempatan.

Sebagai persiapan, SK Riong berdepan pasukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di Kelana Jaya, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Giorgio Pompili Rossi turut beraksi manakala SK Riong menyaksikan Pengarang Berita Kanan (Sukan & Hiburan) Harian Metro, Abdul Manan A Samad turut bermain sebelum MFL menang tipis 6-5.

Enam gol MFL dijaringkan Rossi, Roy Azis, Muhammad Haiqal Latiffi Haris dan hatrik oleh Attiqur’ Rahman.

Lima gol SK Riong pula dijaringkan Firdaus Hashim, Mior Azlan Mior Kamarulbaid, Lan dan dua gol lagi daripada Rozali Saad.

Pengurus pasukan SK Riong yang juga Pengarang Sukan Harian Metro, Saipul Adli Mohamad berkata, perlawanan persahabatan itu bagi memberi peluang pemain mencari keserasian selain membina kecergasan.

“Pemain menunjukkan komitmen tinggi dalam perlawanan. Kita ketinggalan, tetapi kemudian bangkit untuk mendahului 5-4.

“Tetapi kesilapan di hujung permainan menyaksikan kita berputih mata. Namun bukan keputusan yang kita mahukan, sebaliknya keserasian antara pemain,” katanya.

Sebanyak 18 pasukan dijangka menghangatkan saingan Sukan Hawana 2024 termasuk Bernama, Utusan Malaysia, Awani Rangers, Sinar Karangkraf FT, TV3, IKIM, Media Perak dan banyak lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top