Skandal 1MDB: Pegawai SPRM akui tambah keterangan, nafi buat penambahbaikan

Skandal 1MDB: Pegawai SPRM akui tambah keterangan, nafi buat penambahbaikan

ajohari@bh.com.my

Putrajaya: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui membuat penambahan dalam keterangannya pada perbicaraan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Fikri Ab Rahim, bersetuju keterangannya itu adalah ‘tambahan’ terhadap apa yang dinyatakan beliau pada perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Saksi pembelaan kelapan itu adalah salah seorang pegawai ke Riyadh bersama pegawai penyiasat, Nasharudin Amir; Pegawai SPRM, Datuk Mohd Hafaz Naza; Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang ketika itu sebagai wakil Jabatan Peguam Negara.

Menurut Fikri, mereka ke Istana Riyadh antara 27 hingga 29 November 2015 untuk mengesahkan ketulenan empat surat derma daripada Arab Saudi dan menemuramah Putera Arab, Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud, iaitu individu yang dikatakan menandatangani surat derma kepada Najib.

Fikri juga adalah saksi pembelaan ke-12 dalam kes penyelewengan dana SRC.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Fikri bersetuju dengan cadangan bahawa keterangannya lima tahun lalu dalam kes SRC dan hari ini secara asasnya adalah sama.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju terdapat penambahbaikan atau menokok tambah keterangan itu, dan menjelaskan beliau menganggap ia adalah sama, tetapi ia lebih terperinci.

Ahmad Akram kemudian mencadangkan, penambahbaikan itu dibuat Fikri kerana kes SRC sudah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi (ketika itu), Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menyatakan keterangan saksi terbabit adalah tidak mencukupi.

Sehubungan itu, Ahmad Akram berkata, Fikri menambah keterangannya pada perbicaraan kes skandal 1MDB hari ini untuk menutupi (kekurangan) dalam keterangannya pada prosiding bela diri kes SRC.

Ahmad Akram berkata, antara penambahan itu adalah berhubung pasport, di mana pada perbicaraan SRC, saksi itu tidak menyatakan ia adalah pasport diplomatik.

Bagaimanapun cadangan Ahmad Akram itu dinafikan oleh saksi berkenaan.

“Saya setuju ada tambahan, tetapi sama ada ia tambah baik atau tidak, saya tidak tahu,” katanya.

Mohd Nazlan ketika mensabitkan Najib dalam kes SRC, berkata keterangan Fikri tidak mencukupi untuk mendapati kandungan kenyataan yang direkodkan dan ditandatangani oleh Mohammad Abdullah Al-Koman (wakil putera Arab Saudi) adalah kenyataan Putera Saud Abdulaziz Majid Al Saud.

Sementara itu, Fikri berkata, Abdullah Al-Koman memaklumkan, bahawa Putera Arab Saudi itu mengaku beliau adalah penulis surat untuk tujuan derma kepada bekas Perdana Menteri.

Menurut Fikri, meskipun pengesahan sudah diperoleh dari keluarga diraja Arab Saudi, siasatan masih diteruskan bagi membolehkan agensi tersebut memperoleh keterangan lain.

Saksi itu berkata, beliau boleh merumuskan bahawa pihaknya berpuas hati dengan kenyataan wakil putera Arab, bagaimanapun siasatan masih diteruskan berkaitan derma itu sehingga betul-betul dapat keterangan yang lebih kukuh.

Katanya, Azam memaklumkan bahawa mereka masih perlu mendapatkan keterangan lain selain keterangan putera Arab dan dokumen ‘derma’ terbabit.

Fikri berkata, pada pertemuan itu, pasukan siasatan hanya dibenarkan merekod keterangan putera Arab melalui wakilnya kerana mereka dilindungi imuniti (kekebalan).

Menjelaskan lanjut, saksi itu berkata, mereka dibawa ke satu ruangan yang besar dalam istana dan melihat tiga individu di mana salah seorangnya ialah Putera Turki yang beliau kenal pasti melalui gambar sebelum itu.

Katanya, Putera Turki kemudian meminta Putera Saud mengeluarkan pasportnya yang kemudian diserahkan (melalui pembantu istana) kepada Azam untuk disahkan.

Beliau kemudian diserahkan kepada dokumen itu untuk diteliti dan disahkan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung Selasa depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top