Skandal perjudian, pertarungan UFC 324 dibatalkan

Skandal perjudian, pertarungan UFC 324 dibatalkan

New York: Satu pertarungan yang dijadualkan berlangsung pada kad awal UFC 324 dibatalkan secara senyap pada malam Sabtu, namun Ketua Pegawai Eksekutif UFC, Dana White mengesahkan aktiviti pertaruhan tidak normal menjadi puncanya.

White berkata kepada wartawan selepas acara berkenaan, yang menyaksikan pertarungan utama dimenangi Justin Gaethje ke atas Paddy Pimblitt, bahawa pertarungan kelas ringan membabitkan Michael Johnson dan Alex Hernandez dikeluarkan daripada kad susulan maklumat yang diterima daripada perkhidmatan integriti perjudian UFC.

“Kami menerima panggilan daripada perkhidmatan integriti perjudian dan saya berkata, ‘saya tidak mahu melalui perkara ini lagi,’ jadi kami menarik balik pertarungan itu,” kata White seperti dilaporkan Yahoo Sports.

White bagaimanapun tidak memperincikan bentuk ketidaknormalan yang dikesan serta tidak menyatakan sama ada mana-mana petarung disyaki menjadi punca isu berkenaan.

Namun jelas White enggan berdepan satu lagi kontroversi selepas insiden membabitkan Isaac Dulgarian tahun lalu.

Dulgarian digugurkan daripada senarai UFC susulan kekalahan mengejut yang dialaminya kepada Yadier del Valle pada November 2025, dengan pertarungan itu turut dikaitkan dengan aktiviti pertaruhan mencurigakan.

Sebelum perlawanan, odds kemenangan Dulgarian berubah ketara daripada -250 kepada -154, sekali gus mencetuskan persoalan.

Apabila Dulgarian tewas, pengulas Daniel Cormier dan Michael Chiesa nyata keliru dengan apa yang berlaku apabila menyifatkan penyudah Del Valle sebagai “perkara asas tali pinggang putih”, sambil beranggapan ia bukan situasi yang rumit.

Siasatan terhadap Dulgarian masih diteruskan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta Suruhanjaya Atletik Nevada (NAC).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top