Skandal pesta P Diddy akan terungkai minggu ini

Skandal pesta P Diddy akan terungkai minggu ini

New York: Prosiding kes berprofil tinggi penyanyi rap, Sean ‘Diddy’ Combs, atau lebih dikenali ‘P Diddy’ akan bermula pada Isnin.

Ia dijangka menjadi salah perbicaraan selebriti yang paling mendapat perhatian dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Combs, 55, ditahan pada September lalu, dan berdepan pertuduhan termasuk konspirasi untuk aktiviti haram, pemerdagangan seks dan pengangkutan untuk terbabit dalam pelacuran.

Combs mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan menafikan semua dakwaan.

Awal bulan ini, dia menolak rundingan bagi pengakuan bersalah ketika praperbicaraan terakhir.

Jika sabit kesalahan, Combs, yang dipenjarakan sejak ditangkap, boleh menghabiskan sisa hidupnya di penjara.

Pendakwa raya persekutuan mendakwa bahawa Combs menjalankan perusahaan jenayah melalui empayar perniagaannya yang luas, dibantu oleh rakan sekutu dan pekerja atau cuba terbabit dalam jenayah termasuk pemerdagangan seks, penculikan, buruh paksa, rasuah, pelacuran dan menghalang keadilan, sejak sekurang-kurangnya 2004.

Dakwaan berkenaan menuduh pengasas ‘Bad Boy Records’ itu melakukan pemerdagangan seks membabitkan tiga wanita dan mengawal mereka melalui gabungan keganasan fizikal, janji peluang kerjaya, pengawasan, pemberian dan ancaman untuk menahan sokongan kewangan, dan membekalkan mereka dengan dadah.

Pendakwa mengatakan Combs terbabit dalam corak penderaan yang berterusan dan meluas terhadap wanita dan individu lain, iaitu lisan, emosi, fizikal dan seksual.

Ia memperincikan dakwaan bahawa Combs menggunakan kekuatan, ancaman kekerasan dan paksaan untuk membuat wanita terbabit dalam aktiviti seksual dengannya, dan pekerja seks lelaki.

Combs berulang kali menafikan semua pertuduhan itu.

Perbicaraan itu dijangka menampilkan keterangan daripada mungkin tiga atau empat mangsa, menurut Reuters.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top