Skandal rasuah: Ketua sami Kuil Shaolin dijel 24 tahun

Skandal rasuah: Ketua sami Kuil Shaolin dijel 24 tahun

Beijing: Bekas ketua sami Kuil Shaolin di China yang terkenal dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan denda 3.5 juta yuan (kira-kira RM2.3 juta) atas kesalahan jenayah termasuk pecah amanah dan rasuah yang dilakukan selama tiga dekad, menurut mahkamah pada Jumaat.

Liu Yingcheng yang menggunakan nama Shi Yongxin semasa memegang jawatan ketua sami dilucutkan daripada jawatannya pada Julai 2025 kerana kelakuan yang “sangat” buruk.

Dia yang berusia 59 tahun ketika itu turut disiasat serta dilucutkan status sebagai sami atas dakwaan menyalahgunakan dana projek serta aset kuil.

Mahkamah Rakyat Pertengahan Xinxiang di wilayah Henan mendapati Liu mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai ketua sami Kuil Shaolin dan presiden Yayasan Kebajikan Amal Shaolin.

Mahkamah menyatakan dalam kenyataan bahawa jenayah yang dilakukannya sangat besar selain tahap rasuah yang serius serta memberi kesan sosial yang ketara.

Kuil Shaolin di Henan sememangnya terkenal di seluruh dunia sebagai tempat kelahiran seni pertahanan diri kung fu.

Liu dilantik sebagai ketua sami pada 1999 dan membantu kuil itu menubuhkan berpuluh-puluh syarikat dalam beberapa dekad berikutnya, namun dia turut dikritik kerana ‘mengkomersialkan’ agama Buddha.

Menurut mahkamah, Liu melakukan pecah amanah aset bernilai lebih 131 juta yuan (kira-kira RM85 juta) antara 2003 hingga 2025, dengan bertindak secara bersendirian serta bersubahat dengan orang lain.

Dia juga didapati menyalahgunakan dana bernilai lebih 151 juta yuan (kira-kira RM98 juta) daripada organisasi berkenaan untuk kegunaan peribadi antara 2012 hingga 2022.

Liu juga dikesan menerima aset bernilai lebih 11 juta yuan (kira-kira RM7.2 juta) secara haram berkaitan projek pembinaan kuil sejak 2006.

Beliau turut memberi wang dan harta bernilai lebih lima juta yuan (kira-kira RM3.3 juta) kepada penjawat awam antara 1995 hingga 2022 bagi mendapatkan keuntungan yang tidak sepatutnya.

Selain hukuman penjara, Liu turut dikenakan denda 3.5 juta yuan (kira-kira RM2.3 juta). Beliau juga dilaporkan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top