Oh! Negara
Skim Lindung 24/7 bawah PERKESO beri perlindungan kemalangan sepanjang masa kepada 9.6 juta pekerja.
Berita baik buat rakyat Malaysia! Persidangan Dewan Rakyat kini meluluskan Rang Undang-Undang Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025, membuka laluan kepada pelaksanaan Skim Lindung 24/7 di bawah PERKESO.
Pindaan ini bukan kecil-kecilan, kerana ia memberi perlindungan menyeluruh tanpa mengira masa, seiring dengan corak kerja hibrid dan aturan kerja anjal yang semakin menjadi norma hari ini.
Skim perlindungan sepanjang masa untuk 9.6 juta pekerja

Memetik kenyataan Kementerian Sumber Manusia, Skim Lindung 24/7 diperkenalkan khusus bagi memastikan pekerja dilindungi walaupun kemalangan berlaku di luar waktu kerja.
Ia dijangka memberi manfaat kepada lebih 9.6 juta pencarum aktif sektor formal yang sebelum ini terkesan akibat tuntutan ditolak hanya kerana insiden berlaku di luar waktu bekerja.
Antara manfaat utama skim ini termasuk perlindungan 24 jam sehari dan penyelesaian kepada 12,306 tuntutan yang ditolak sejak 2023 hingga Oktober 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja.
Pekerja juga berpeluang menikmati pelbagai faedah komprehensif seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, serta kemudahan pemulihan dan pinjaman pendidikan.
Kemalangan di luar waktu kerja boleh buat tuntutan PERKESO

Dalam sesi penggulungan, Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim Chee Keong menjelaskan bahawa skim ini bakal menjadi penyelamat kepada pekerja dan keluarga yang berdepan beban kewangan akibat rawatan, hilang upaya atau proses pemulihan.
Dalam era kerja hibrid dan aturan kerja anjal, garis antara kerja dan kehidupan semakin kabur. Kita bekerja dari rumah, dari kafe, bahkan dari taman sambil menemani anak-anak, tetapi hakikatnya hanya 42% pekerja mempunyai perlindungan kemalangan peribadi atau takaful. Sebab itulah Kerajaan memperkenalkan Skim LINDUNG 24/7 yang melindungi pekerja walaupun kemalangan itu berlaku di luar waktu kerja dan tidak berkait langsung dengan penggajian mereka.
KESUMA turut memberi jaminan bahawa skim ini akan dipantau rapi bagi memastikan manfaat disampaikan dengan cepat, telus dan adil selepas ia dikuatkuasakan sepenuhnya kelak.
Kenyataan media:


Pssttt! Dalam dunia kerja serba moden yang kadang-kala tidak berpihak kepada pekerja, Skim Lindung 24/7 hadir memberi rasa lega dan harapan baharu. Semoga pelaksanaannya benar-benar menjadi benteng perlindungan untuk semua.
Kredit: Kementerian Sumber Manusia
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




